SHAH ALAM - Kumpulan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (JAG) mendesak PKR supaya segera melakukan siasatan dalaman berhubung gangguan seksual yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan terhadap bekas pembantunya. Pertubuhan bukan kerajaan itu berkata, PKR juga perlu melantik sebuah panel siasatan yang bebas dan memiliki kepakaran dalam gangguan seksual pelbagai gender. Di samping itu, JAG berkata, selain menyiasat kes tersebut, panel itu juga perlu mengkaji semula dasar-dasar dan tindak balas PKR terhadap gangguan seksual secara amnya. “Parti politik tidak boleh bertolak ansur dengan gangguan seksual. Rakyat berhak untuk mendapatkan wakil rakyat yang menghormati wanita. ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pembantu Ahli Parlimen dakwa diganggu secara seksual Gangguan seksual: MP Sungai Siput bersuara... “Kami menggesa PKR untuk memandang serius dakwaan gangguan seksual ini, dan segera melancarkan siasatan dalaman,” katanya menerusi satu kenyataan. JAG turut menggesa agar semua parti politik mengadakan dasar dalaman untuk mencegah dan bertindak balas terhadap gangguan seksual. “Kes ini menunjukkan betapa perlunya Rang Undang-undang Gangguan Seksual diluluskan. Namun PKR tidak perlu menunggu undang-undang baharu ini. PKR mesti berpegang pada piawaian dalaman yang tinggi,” katanya. Selepas dituduh bekas pembantunya yang kemudiannya membuat laporan polis, Kesavan tampil membuat penjelasan. Katanya, beliau sedia maklum akan laporan polis berniat jahat yang dibuat oleh seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai penyelidikan parlimennya itu. Menurut Kesavan, beliau juga bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang bakal dijalankan selain menyerahkan perkara itu kepada peguam untuk mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya dan isteri.