Kehilangan warga emas ke masjid terjawab

Anggota bomba mengeluarkan mangsa dari kenderaan. Gambar kecil:Abdul Gani Maknor
Anggota bomba mengeluarkan mangsa dari kenderaan. Gambar kecil:Abdul Gani Maknor
A
A
A

ALOR GAJAH - Kehilangan seorang warga emas yang tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk solat Isyak di masjid akhirnya terjawab apabila dia ditemui meninggal dunia di Kampung Kasim Jawa, Padang Kambing di sini, pagi tadi.

Mayat mangsa, Abdul Gani Maknor@Drani, 87, yang lengkap berbaju Melayu dan berkopiah ditemui dalam kereta jenis Mazda oleh salah seorang anak saudaranya kira-kira 50 meter jarak rumah dari lokasi kejadian.

Anak ketiga mangsa, Melor Abd Gani, 56, berkata, kebiasaannya bapanya akan pulang ke rumah selewatnya jam 12 tengah malam selepas menunaikan solat Isyak dan sunat tarawih di masjid berdekatan.

Menurutnya, dia dihubungi ibunya yang memaklumkan arwah tidak pulang ke rumah dan mendapatkan bantuan ahli keluarga yang lain untuk mencari bapanya hingga ke Tampin, Negeri Sembilan.

"Selepas dihubungi, saya terus bergerak dari Bangi pulang ke Melaka malam tadi untuk sama-sama mencari ayah.

"Namun pagi tadi seorang anak buah ternampak kereta ayah dalam semak di kawasan cerunam dan bila kami hampiri, ayah sudah tidak bernyawa di tempat duduk pemandu," katanya.

Tambahnya, biarpun masih bersedih kehilangan ayah tercinta namun pemergiaannnya ketika perjalanan ke rumah ALLAH dianggap sebagai satu yang baik, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

"Kami reda dengan kejadian yang menimpa ayah kerana arwah meninggal dunia pada bulan yang baik, apatah lagi dia dalam perjalanan hendak ke masjid untuk menunaikan solat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku selepas kereta dipandu mangsa terbabas sendiri ke dalam kawasan semak.

Menurutnya, mangsa telah keluar rumah pada jam 8 malam dan dijumpai oleh keluarga mangsa kira-kira 13 jam kemudian di kawasan semak dan tidak jauh dari rumah mangsa.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat dan hasil siasatan mendapati, mangsa telah meninggal dunia selepas terbabas sendiri ke kawasan cerunam berhampiran rumahnya," katanya ketika dihubungi.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Kambing dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!