Diserang netizen: FB Waytha Moorthy tak dapat diakses?
Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan negara dan integrasi nasional, beliau didakwa gagal memainkan peranan dalam isu rusuhan kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.
Terlebih dahulu, ‘page’ Facebook yang menggunakan nama Waytha Moorthy Ponnusamy mengundang kemarahan warga Facebook apabila menggunakan foto Muhammad Adib sebagai gambar profilnya.
Bagaimanapun, melalui carian di Facebook, ‘page’ tersebut kini didapati tidak lagi dapat diakses.
Namun, ia tidak menghalang netizen daripada menyerang Facebook peribadi Waytha Moorthy yang kebanyakannya mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai menteri.
Awal pagi tadi, Waytha Moorthy dalam satu kenyataan berkata, beliau menyifatkan Allahyarham Muhammad Adib sebagai anggota bomba yang berani dan berwibawa dan telah berkhidmat untuk negara dengan penuh dedikasi.
Katanya, pihak polis sedang bekerja keras bagi memastikan pesalah jenayah kejam yang menimpa Allahyarham di bawa ke muka pengadilan dengan pantas.
"Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Muhammad Adib... kami berkongsi kesedihan keluarganya dan negara berkabung bersama keluarga Muhammad Adib dalam masa getir ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!