PSM sasar pertahan emas regu di Filipina
KUALA LUMPUR - Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bertekad untuk mempertahankan pingat emas acara regu lelaki pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail menyifatkan sasaran itu realistik selepas skuad kebangsaan hanya akan bertanding dalam dua daripada empat acara dipertandingkan.
Beliau menegaskan pemilihan acara yang ditandingi Malaysia pada temasya dwitahunan itu tidak bersandar kepada acara disertai gergasi sepak takraw dunia, Thailand.
“Sasaran kita satu emas dan kita akan cuba pertahankan. Semua kena faham tidak banyak acara dipertandingkan di Filipina, dan Malaysia hanya mengambil bahagian dalam dua acara jadi daripada dua itu, satu emas saya kira ia bagus.
“PSM tidak pernah mengambil kira tentang negara lain...apa acara mereka masuk langsung tidak memberi kebimbangan kepada kita. Percaturan PSM apabila nak memilih acara berdasarkan prestasi barisan pemain kita. Tetapi saya berharap mereka (Thailand) ambil bahagian dalam acara kita,” katanya kepada pemberita hari ini.
Malaysia berjaya merangkul dua pingat emas, masing-masing menerusi acara regu lelaki dan chilone lelaki pada edisi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Sementara itu, Ahmad Ismail mengakui masih terdapat banyak kelemahan harus diperbaiki skuad kebangsaan terutama dari segi elemen persefahaman.
Namun, beliau memberi jaminan perkara itu dapat diatasi dan menghasilkan satu kombinasi skuad terbaik setelah menyertai beberapa siri kejohanan selain program latihan yang berterusan menjelang Sukan SEA 2019.
“Kita ada ramai pemain baru dalam skuad jadi memang ada nampak kelemahan tetapi ia boleh ditangani. Antara kelemahan selain daripada kemahiran individu itu sendiri adalah persefahaman sesama regu. Perkara itu yang kita sedang tumpukan,” tambahnya.
Dua belas pemain akan menjalani latihan persediaan awal di Korea Selatan dari 7 hingga 20 Jun sementara empat pemain muda negara akan dihantar menghadapi Kejohanan Asia di Kunming, China dari 8 hingga 15 Jun.
Empat pemain yang dipilih itu adalah Muhammad Syahmi Husin, Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Muhammad Azli Ahmad Zaki dan Amirul Zazwan Amir.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!