Mohamad Hasan gesa kes Adib disiasat telus

Datuk Seri Mohamad Hasan - Foto Sinar Harian oleh ASRIL ASWANDI SHUKOR
Datuk Seri Mohamad Hasan - Foto Sinar Harian oleh ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A
SEREMBAN - Seluruh negara berasa sedih dan pilu dengan berita pemergian Pegawai Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Setelah tiga minggu bertarung kerana kecederaan parah akibat dipukul semasa menjalankan tugas dalam operasi di Seafield, beliau akhirnya pulang menghadap pencipta.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata,

Umno dan pihaknya secara peribadi mengirimkan sedalam-dalam belasungkawa kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

"Semoga semuanya diberikan kekuatan dan kesabaran dalam berhadapan dengan waktu yang sukar ini.

"Kita semua harus memberikan ruang dan masa kepada ahli keluarga Allahyarham dan memastikan tidak menyinggung atau mengganggu mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad yang juga Adun Rantau berkata, polis telah mengklasifikasikan kematian Allahyarham sebagai kes bunuh.

"Justeru, Umno menegas dan menggesa agar kes ini disiasat dengan serius, telus dan segera. Mereka yang terlibat dalam kes ini mesti dibawa ke muka pengadilan dan dihukum dengan sewajarnya.

"Terima kasih diucapkan kepada pasukan perubatan dan seluruh kakitangan Institut Jantung Negara (IJN) serta semua pihak yang telah berikhtiar dan membantu selama ini.
Artikel Berkaitan:


"Sesungguhnya, pengorbanan anggota keselamatan negara semasa menjalankan tugas kepada negara adalah satu sumbangan besar yang tidak ada nilai dan taranya," katanya.

Mohamad bagaimana pun turut mendoakan Allahyarham diampunkan segala kekurangannya dan ditempatkan bersama-sama orang beriman yang diredhai ALLAH SWT.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!