Ikan segar diskaun 50 peratus habis terjual 15 minit

Fuziah (tengah) dan Rashima menimbang ikan yang ingin dibeli pengunjung sewaktu berlangsungnya program itu, di Pantai Sepat hari ini.
Fuziah (tengah) dan Rashima menimbang ikan yang ingin dibeli pengunjung sewaktu berlangsungnya program itu, di Pantai Sepat hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Hampir 300 kilogram ikan segar yang ditawarkan potongan harga sehingga 50 peratus habis terjual dalam masa tidak sampai 15 minit pada Promosi Jualan Ikan di Pasar Nelayan Sepat hari ini.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, antara ikan yang dijual adalah bawal hitam yang dijual RM20 sekilogram (RM25 harga asal); cencaru RM6 (RM10 harga asal), kerisi RM4 (RM7 harga asal), Pelaling RM6 (RM8 harga asal) dan sotong RM24 (RM28 harga asal) serta ikan tongkol RM12 berbanding RM18 sebelumnya.

Menurutnya, promosi jualan ikan ini dalam usaha meringankan beban pengguna bagi membeli barangan keperluan seharian.

“Hari ini, kita dapat lihat penduduk setempat mengambil kesempatan untuk membeli ikan yang dijual oleh nelayan di sini dengan pembelian secara pantas.

“Saya juga difahamkan pihak Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Pahang turut menyumbangkan ikan bagi tujuan penjualan murah itu menerusi kerjasama dengan nelayan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Promosi Jualan Ikan di Pasar Nelayan Sepat hari ini.

Hadir sama, Pengarah LKIM negeri, Rashima Baharuddin.

Fuziah berkata, kebanyakan pengunjung membeli ikan tongkol pada sesi penjualan ikan segar itu.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin pengguna akan memasak ikan ini untuk juadah berbuka nanti. Sekurang-kurang hari ini mereka dapat membeli dengan harga murah,” katanya.

Sementara itu, Azizah Abu Bakar, 57, berkata, sebaik sahaja mengetahui ada jualan ikan murah di Pantai Sepat dia segera bergegas ke jeti nelayan terbabit.

“Hari ini saya borong banyak ikan tongkol sebab nak masak nasi dagang hari raya nanti.

“Saya juga beli sotong dan ikan cencaru untuk juadah berbuka nanti,” katanya.

Ibu kepada lima anak itu berharap agar promosi sebegini diadakan pada masa akan datang bagi membantu golongan pertengahan sepertinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!