Dinasti Nehru-Gandhi terhakis di India

Rahul Gandhi (kiri) tewas di kubu kuat keluarganya sendiri kepada Smriti Irani daripada parti Bharatiya Janata (BJP).
Rahul Gandhi (kiri) tewas di kubu kuat keluarganya sendiri kepada Smriti Irani daripada parti Bharatiya Janata (BJP).
A
A
A

NEW DELHI - Kekalahan Rahul Gandhi pada Pilihan Raya Umum India menyaksikan penguasaan dinasti Nehru-Gandhi selama 72 tahun sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada 1947 telah terhakis.

Malah, kekalahan memalukan Gandhi di wilayah kubu kuat keluarganya sendiri menimbulkan persoalan serius mengenai kepimpinannya.

Pada pilihan raya kali ini, penduduk Amethi memberi mandat kepada Smriti Irani daripada parti Bharatiya Janata (BJP) sekali gus memutuskan hubungan 39 tahun dengan keluarga Gandhi.

Di peringkat nasional, parti Kongres pimpinan Gandhi menerima tamparan hebat ketika parti BJP yang dipimpin Perdana Menteri Narendra Modi meraih kemenangan besar.

Kekalahan Gandhi di Amethi didorong oleh pengundi muda yang beralih sokongan kepada Irani.

"Pengundi muda tiada ruang untuk bersentimental dengan Nehru-Gandhi.

"Mereka lebih mengutamakan masa depan kerana itulah mereka memilih Smriti dan BJP," kata ahli perniagaan dari Jagdishpur, Bechu Khan.

Terdahulu, Modi menyifatkan keputusan pilihan raya tersebut menunjukkan rakyat menolak penipuan dan propaganda pihak pembangkang selama ini.

Artikel Berkaitan:

Undian kali ini menyaksikan pertembungan sengit Modi dan Gandhi namun pengaruh kuat Modi dalam kalangan rakyat berjaya mengekang hasrat Gandhi untuk mengambil alih kuasa.

Secara keseluruhan, lebih 2,000 parti dan 8,000 calon bertanding dalam pilihan raya yang disifatkan terbesar dan termahal di dunia itu dan parti atau pakatan yang menang memerlukan sekurang-kurangnya 272 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Penganalisis berkata, kemenangan Modi, 67, adalah disebabkan kegagalan pembangkang membidas intipati kempen Parti BJP yang merangkumi isu nasional, pembangunan dan juga agama. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!