Peniaga bazar didenda, gagal pamer tanda harga
PONTIAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengenakan tindakan denda RM100 ke atas seorang peniaga bazar Ramadan di Kluang kerana gagal meletakkan tanda harga selepas amaran dikeluarkan.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr S Ramakrishnan berkata, sebanyak 38 amaran dikeluarkan sepanjang pemeriksaan dilakukan ke atas 5,986 premis di seluruh negeri setakat ini.
Menurutnya, tanda harga wajib diletakkan peniaga mengikut Perintah Harga Kawalan (Penandaan Harga oleh Peruncit) 1993.
"Papan tanda harga perlu jelas. Tetapi hasil tinjauan dilakukan mendapati papan tanda diletakkan tidak jelas di mana tulisan kecil dan hanya diletakkan di suatu tempat sahaja.
"Sepatutnya tanda harga perlu dipamerkan di setiap barangan yang dijual," katanya ketika melakukan tinjauan di bazar Ramadan Stadium Mini Pontian, di sini petang tadi.
Turut serta Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd Hairul Anwar Bohro.
Dr S Ramakrishnan berkata, KPDNHEP negeri masih belum menerima aduan atau laporan berkaitan kenaikan harga barang secara berlebihan di bazar Ramadan.
Menyentuh tentang Skim Harga Maksimum Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMPHRP) negeri yang dilancar 21 Mei lepas, katanya 16 pemeriksaan di peringkat pemborong dan 343 pemeriksaan di peringkat peruncit.
"Seorang pemborong di Johor Bahru telah dikenakan tindakan dibawah Sekyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana menjual barang kawalan iaitu tomato melebihi harga maksimum.
"Harga yang ditetapkan RM2.50 sekilogram tetapi pemborong menjual RM2.80 sekilogram," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!