Perubahan LPP diteruskan, tidak patah balik

Salahuddin Ayub. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Salahuddin Ayub. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 adalah untuk kebaikan semua pihak di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) khususnya untuk kepimpinan pertubuhan itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Katanya, kepimpinan LPP perlu diremajakan semula, bagi memastikan pertubuhan itu dapat membuat reformasi baharu untuk lebih maju dan mengorak langkah ke hadapan.

"Pada peringkat awal ini kita telah buat pindaan. Walaupun ada segelintir yang tidak bersetuju tetapi saya yakin 900,000 anggota peladang boleh terima pindaan ini, dan melihat tentang objektifnya.

"Bagi mereka yang membantah... itu hak mereka. Saya dengar dan teliti (bantahan), tetapi perubahan harus diteruskan. Saya tidak boleh berpatah balik dan saya harus melangkah ke hadapan demi kebaikan anggota peladang," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama warga LPP di sini, hari ini.

Katanya selagi status quo diberikan kepada orang terdahulu yang telah bertahun-tahun memegang jawatan, mereka tidak ke mana-mana (maju) dan tidak beri satu dinamik kepada peladang (LPP) itu sendiri.

"Kalau kepimpinan tak berubah dan diterajui oleh orang yang sama, ada yang rugi ( anak syarikat) dan ada anak syarikat tutup. Jadi tidak kemana-mana. Sebagai menteri, saya mesti berani untuk melihat bahawa peladang ini perlu diremajakan kepimpinannya," katanya diminta mengulas mengenai bantahan beberapa pihak berkenaan pewartaan pindaan tersebut.

Sebelum ini, beberapa PPN seperti PPN Kedah dan PPN Kelantan menyuarakan bantahan dan menggesa kerajaan membatalkan pindaan warta itu, kerana berpandangan ia membelakangkan prinsip demokrasi kerana diluluskan tanpa melalui proses perbincangan, dengan semua pihak terlibat.

Salahuddin berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan di peringkat tertinggi dalam kementerian itu bersama LPP dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebelum pewartaan pindaan tersebut dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Warta berkenaan telah dibuat pada 19 April lepas oleh Pengerusi LPP, Mazlan Aliman dan diluluskan pada tarikh yang sama oleh Salahuddin serta dikuatkuasakan pada 1 Mei lalu.

Pindaan tersebut meliputi tiga peringkat iaitu Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Nafas.

Antara perkara yang dipinda adalah komposisi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) di PPN terdiri daripada empat anggota dipilih dalam mesyuarat agung tahunan dan lima dilantik menteri. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!