'Bukan kami degil tapi kami teraniaya...'
KUALA LUMPUR - "Kami dah sedia meja bulat untuk berbincang, sepatutnya DBKL datang hari ini bukan datang curi-curi di kemudian hari ini," kata pemilik Syaza Auto Trading, Mohd Kamal Mohd Noor, berhubung operasi perobohan di tapak Lot28164, Jalan Genting, hari ini.
Mohd Kamal berkata, tanah tersebut diteroka sejak 25 tahun lalu dan dakwanya sering diganggu setiap kali menjelang pilihan raya.
Menurutnya, pihaknya kekal mempertahankan tanah tersebut dan berharap rundingan isu tersebut dapat dilakukan.
"Bukan isu kami berdegil tapi kami pihak teraniaya. Kami teroka tanah ini dan pernah membuat permohonan pemilikan sejak 2004, 2011 dan 2014 namun kesemuanya ditolak.
"Banyak maklumat mengenai status tanah ini tidak tepat. Dakwaan mengatakan kami salah guna tapak dengan mendapat perlindungan daripada ayahanda tidak benar sama sekali, kami juga tak jalankan aktiviti bengkel seperti didakwa," katanya yang berhimpun di tapak bersama sekumpulan penyokong selepas mendapat maklumat kawasan tersebut akan dirobohkan hari ini.
Selain dijadikan tempat jual kereta terpakai, kawasan tersebut turut digunakan sebagai pejabat Badan Amal Tarbiah Sejagat Malaysia (Batas), Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Cawangan Wangsa Maju/Setiawangsa dan latihan Persatuan Muaythai KL.
Timbalan Presiden Batas Malaysia, Mohd Shabudin Abu Hasan berkata, mereka berhimpun bagi jalan penyelesaian dan meminta pintu rundingan dibuka.
"Batas berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sejak 2013 menggunakan alamat di sini dan tindakan menghalau tanpa ada perbincangan seolah kami bukan rakyat, tak ada jasa dan bakti langsung," katanya.
Setiausaha Persatuan Muaythai KL, Nik Zulhilmi Nik Mohamad, dia meminta tapak latihan mereka tidak diganggu bagi melahirkan lebih ramai atlet dalam sukan itu.
"Jangan ganggu tempat latihan kami. Sebelum ini ada pihak janji nak sediakan tempat kami berlatih tapi hanya bagi harapan palsu, tak ada hitam putih dan masih sama seperti dulu.
"Dengan perubahan kerajaan baru kami harapkan sokongan melalui proses yang lebih berstuktur bagi mengotakan janji itu," katanya.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad semalam mengesahkan tindakan roboh bakal dilakukan hari ini susulan beberapa notis pengosongan tapak yang dikeluarkan sebelum ini gagal dipatuhi pengusaha terlibat.
Pengosongan tapak adalah bagi memberi laluan kepada projek naik taraf Taman Tasik Danau Kota untuk digunakan kira-kira 400,000 penduduk Wangsa Maju dan sekitarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!