Pendidikan: Hentikan sabotaj diri sendiri
SAYA merujuk kepada kritikan oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy dan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker terhadap Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Saya mulakan dengan kenyataan mudah bahawa Dr Ramasamy memberikan teguran yang lebih berisi dan dialu-alukan, sedangkan kritikan Datuk Seri Ti tidak sampai ke tahap itu.
Menteri Pendidikan ditanya dalam sebuah majlis kenapa Malaysia Baharu masih mengekalkan program matrikulasi 90 peratus kuota Bumiputera, terutamanya apabila kita ada kelayakan pra-universiti iaitu STPM yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Beliau memberikan jawapan bahawa program matrikulasi dimulakan pada 1999 untuk membetulkan ketidakseimbangan kaum dalam kalangan mahasiswa dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan di universiti awam, yang ketika itu majoritinya adalah bukan Bumiputera.
Matrikulasi bertindak sebagai jalan pintas untuk menaikkan kadar kemasukan pelajar Melayu dan Bumiputera untuk kursus-kursus terpilih, maka pengambilan kumpulan ini tentu lebih ramai.
Isunya, Dr Ramasamy tidak bersetuju dengan jawapan Dr Maszlee yang dikatakan menghubungkaitkan kuota matrikulasi dengan pengangguran dalam kalangan graduan Bumiputera.
Beliau berpendapat kedua-dua isu itu tidak berhubung kait.
Namun begitu, walaupun hormat saya kepada Dr Ramasamy sebagai pendamai dan aktivis sosial sejak sekian lama, saya terpaksa katakan bahawa beliau tersasar.
Kedua-dua isu tersebut amatlah berkait jika dinilai dalam kerangka lebih besar.
Peguam dan aktivis orang asli terkenal Siti Kasim telah mencoret sebuah nukilan lain yang menyentuh soal Institut Teknologi Mara (ITM, kini UiTM) yang sebenarnya lebih relevan.
ITM, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan matrikulasi semuanya bertujuan mengeluarkan anak-anak Bumiputera yang ketinggalan dari kongkongan rumah mereka, diletakkan dalam suasana asrama yang lebih kondusif dan diberikan latihan bertubi-tubi untuk menaikkan prestasi akademik mereka.
Isu sebenar bukanlah pecahan kaum matrikulasi, ITM atau MRSM itu sendiri tetapi jurang besar antara kaum di peringkat pendidikan tinggi dan alam pekerjaan yang mana mahasiswa dan graduan Bumiputera menghadapi pelbagai rintangan dan halangan.
Jika dilihat rantaian pembangunan manusia, kedua-dua isu ini memang berkait rapat malah berangkai.
Menuding jari amatlah mudah. Jika dilihat hanya dari segi kuota 90 peratus semata-mata, memang tidak adil untuk bukan Bumiputera.
Namun begitu, isu ini perlu dilihat secara lebih holistik dari segi Bina Negara.
Soalan lebih besar di sini adalah: Adakah kita sudah fikir sebaik-baiknya (bererti kajian yang mendalam) untuk mencari cara untuk merungkai jurang besar antara kaum demi memastikan akses yang adil dalam pendidikan tinggi, peluang pekerjaan dan prospek hidup untuk seluruh rakyat Malaysia? - Jawapan saya: Sekurang-kurangnya penasihat ekonomi Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid sudah buat kajian!
Diskriminasi kaum dalam pasaran pekerjaan
Bukan rahsia lagi di Malaysia dan Singapura bahawa ramai majikan kononnya mengutamakan pekerja yang boleh berbahasa Mandarin, walaupun syarikat-syarikat tersebut berniaga dengan negara-negara Eropah.
Acap kali juga kaum bukan Cina yang fasih berbahasa Mandarin merungut di khalayak bahawa mereka disisihkan dan calon berbangsa Cina diutamakan.
Ini bukan spekulasi liar berdasarkan insiden terpencil, tetapi berdasarkan kajian yang pelbagai.
Diskriminasi kaum adalah hakikat semasa dan hal ini hanya boleh diselesaikan jika kita jujur menghadapinya.
Kita juga harus mengiktiraf usaha kerajaan terdahulu dan kini yang menggalakkan penyertaan bukan Bumiputera dalam perkhidmatan awam, terutamanya dalam pasukan polis dan tentera.
Jika ini adalah isu dan ia perlu ditangani, maka kita seharusnya ambil langkah membetulkan ketidakseimbangan yang wujud.
Namun itu isu yang agak terpisah, maka seharusnya diuruskan dalam sebuah perbincangan yang lain. MCA telah berada dalam kerajaan selama lebih enam dasawarsa, sepatutnya mereka lebih arif dalam hal ini!
Di negara-negara maju, polisi kerajaan biasanya bermula dengan ‘kertas hijau’ atau ‘kertas putih’.
Kajian, tinjauan umum serta projek percubaan akan diadakan berkali-kali sebelum sesuatu polisi dimuktamadkan dan dilaksanakan. Semua ini makan masa bertahun-tahun lamanya, bukan sebulan dua!
Mengambil contoh ini, Menteri Pendidikan telah melantik beberapa jawatankuasa khas pendidikan serta melakukan beberapa rombakan segera dalam bidang-bidang kritikal.
Beberapa jawatankuasa ini sudah menyerahkan laporan mereka, manakala yang lain seperti jawatankuasa pemerkasaan TVET masih menjalankan kajian mereka.
Setelah bertahun-tahun disuap projek ‘mi segera’ (instant noodle) oleh kerajaan lama - kebanyakannya bermotif rasuah politik untuk meraih undi menjelang pilihan raya - kita seolah-olah lupa kepentingan proses yang wajar dan pembikinan polisi berlandaskan bukti.
Kita ketagih ingin khayal dengan nikmat yang cepat, walhal candu ini menyebabkan kita lupa tujuan sebenar di jangka panjang.
Penyelesaian lestari
Kita bukan bekerja dalam silo dan tidak sepatutnya mengambil pendirian yang separuh-separuh atau atomistik.
Kita tidak dapat menyelesaikan penyakit kecil seperti kuota kaum matrikulasi tanpa turut menangani masalah yang sistemik seperti diskriminasi kaum dan ketidakseimbangan struktural dalam sektor-sektor ekonomi yang kritikal.
Jika dibuat juga, maka ia amat berpandangan singkat, tidak bijak dan mungkin membawa mudarat yang besar di kemudian hari.
Ketidakseimbangan kaum di sesetengah bahagian pasaran kerja boleh membawa masalah serius seperti jurang pendapatan dan kekayaan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Kita seolah-olah lupa sejarah berdarah kita sendiri dalam hal ini, walaupun pelbagai laporan oleh Bank Negara Malaysia dan Khazanah Research Institute memberi petanda yang jelas bahawa risiko ini tidak boleh dipandang enteng.
Namun begitu, sebarang langkah untuk menghadapi cabaran ini memerlukan rombakan besar-besaran dalam pelbagai sudut ekonomi dan masyarakat.
Kita perlu ingat bahawa pendidikan itu luas dan perlu diambil kira secara menyeluruh, bukan sekadar dinilai melalui 25,000 tempat matrikulasi.
Lebih 400,000 pelajar menduduki peperiksaan saban tahun dan hanya 25,000 atau kurang daripada enam peratus boleh diterima masuk ke program matrikulasi. Ini masuk akal kerana program ini hanyalah sebuah intervensi sementara.
Sejumlah 94 peratus pelajar lainnya juga berhak mendapat peluang belajar dan kita semestinya tidak dapat memberikan tumpuan dan sumber untuk mereka jika kita masih bertelagah dalam soal 6 peratus ini.
Untuk memberikan peluang yang adil, jemaah menteri dan Kementerian Pendidikan telah melaksanakan pelbagai program yang terbuka untuk semua kaum dan agama.
TVET akan dirombak semula dan diberikan tumpuan baharu, malah peluang perantisan atau magang (apprenticeship) akan ditingkatkan.
Institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta semakin tinggi kedudukan mereka dalam liga-liga antarabangsa, malah kerjasama dengan pelbagai institusi dalam dan luar negara juga semakin rancak.
Semua ini bakal mempertingkatkan peluang pendidikan dan pekerjaan untuk semua.
Kelesuan yang mencengkam sejak berdekad lamanya di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kini berakhir.
Semua universiti mendapat autonomi, malah kesatuan pelajar yang menjadi paksi aktivisme pelajar di negara-negara demokrasi kini subur.
Badan-badan belia juga aktif membina sahsiah belia dan bukannya membasuh kader-kader parti politik.
MaGIC dan badan-badan pemacu lain akan terus beroperasi.
MDEC dan MAVCAP akan mendapat mandat lebih luas untuk memajukan ekonomi digital negara ini bagi memanfaatkan gelombang Revolusi Industri Keempat 4IR.
SME Bank juga kini memberikan pembiayaan mikro di bawah MySMELady untuk membantu usahawan wanita.
Syarikat-syarikat milik kerajaan terus komited untuk menjadikan ekonomi Malaysia lebih kompetitif.
MARA juga sedang menumpukan kembali kerja mereka untuk membantu usahawan Bumiputera yang dipimpim barisan lembaga pengarah berwibawa seperti Dr Hasnita Hashim, graduan PhD Universiti Oxford dalam bidang fizik nuklear, serta Tengku Tan Sri Mahaleel, mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton.
MRSM dan sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP) kembali mengambil lebih ramai anak-anak dari kumpulan B40.
Ini selari tujuan asal mereka untuk menawarkan pendidikan berkualiti kepada keluarga miskin terutama yang berasal dari kawasan pedalaman.
* Azmi Ahmad Fathil ialah Pengurus Kanan Analisis Data dan Pemasaran Digital, Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!