Jangan anjur bufet Ramadan tanpa sijil halal

Haris (tengah) menyertai operasi penguatkuasaan JAIS terhadap aktiviti kutipan derma tanpa kebenaran di bazar Ramadan Seksyen 19 dan Seksyen 13, di sini, semalam.
Haris (tengah) menyertai operasi penguatkuasaan JAIS terhadap aktiviti kutipan derma tanpa kebenaran di bazar Ramadan Seksyen 19 dan Seksyen 13, di sini, semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemilik hotel serta premis yang menganjurkan buffet Ramadan tetapi tidak memiliki sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah diingatkan untuk tidak mengelirukan pengguna Islam dengan iklan atau promosi ditawarkan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim berkata, setakat ini pihaknya menerima enam aduan daripada orang awam berkaitan bufet Ramadan yang disyaki tidak memiliki sijil halal.

Beliau berkata, susulan itu, Bahagian Pengurusan Halal JAIS bersama agensi-agensi lain antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor membuat serbuan ke atas hotel terlibat dan mendapati premis tersebut memang menawarkan bufet Ramadan tanpa sijil pengesahan halal yang sah.

Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan terhadap pemilik premis di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

"Adalah menjadi satu kesalahan bagi pihak yang menawarkan perkhidmatan bufet Ramadan yang menunjukkan makanan dihidangkan adalah halal dan boleh dimakan orang Islam sedangkan premis tidak memiliki pensijilan halal yang sah.

Haris
Haris

"Penggunaan perkataan Ramadan melambangkan bulan kemuliaan, manakala 'bufet' menunjukkan hidangan yang ditawarkan," katanya.

Haris berkata, pengendali bufet yang tiada sijil halal yang sah diminta mengeluarkan perkataan Ramadan atau iftar dari iklan atau tawaran mereka.

Artikel Berkaitan:

"Jika tiada sijil halal letak saja bufet biasa tapi jangan letak bufet Ramadan.

"Kita tak mahu orang Islam keliru dan minta mereka yang hendak menikmati bufet supaya berhati-hati," katanya pada sidang media selepas selesai operasi penguatkuasaan JAIS terhadap aktiviti kutipan derma tanpa kebenaran di bazar Ramadan Seksyen 19 dan Seksyen 13, di sini semalam.

Haris berkata, JAIS akan terus membuat pemantauan sepanjang bulan Ramadan ini bagi memastikan tiada premis atau hotel-hotel mengambil kesempatan terhadap umat Islam dengan menawarkan bufet Ramadan tanpa memiliki sijil halal yang sah.

Katanya, orang awam boleh memaklumkan sebarang maklum balas kepada Bahagian Pengurusan Halal JAIS berkaitan dengan kemusykilan terhadap sijil halal yang dipamerkan di premis-premis makanan di talian 03-5514 37603486.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!