'Kita balik sama-sama, tapi abang dalam keadaan kaku'

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR

Catatan tunang Muhammad Adib di laman Instagram miliknya.
Catatan tunang Muhammad Adib di laman Instagram miliknya.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Manusia hanya mampu merancang, tetapi ALLAH SWT yang menentukan.

Perancangan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim untuk melangsungkan pernikahan Jumaat ini tidak kesampaian apabila Allahyarham menghembuskan nafas terakhir malam tadi.

Pemergian Allahyarham Muhammad Adib pastinya mengundang kesedihan tunangnya, Nurul Najihah Mohd Radzi yang meluahkan perasaan di laman sosial.

Menurut catatan di Instagramnya, Nurul Najihah berkata, dia dan Muhammad Adib sepatutnya pulang ke kampung bersama-sama untuk perkahwinan mereka.

"Al-Fatihah Kudip. Esok kita sama-sama cuti untuk balik kampung bagi perkahwinan kita. Ya abang, kita balik. Kita balik sama-sama.

"Esok 18/12/2018 hari kita balik drive. Tapi orang balik juga dengan abang, tapi abang dalam keadaan kaku. Tenanglah kamu. Setenang orang tengok kamu tadi," tulisnya.

Sebelum ini, kad undangan ke majlis perkahwinan tertera nama Muhammad Adib Mohd Kassim dan tunangnya yang tular di media sosial sejak malam tadi mengundang kesedihan netizen.

Allahyarham sebelum ini dijangka melangsungkan pernikahan dengan tunangnya, Nurul Najihah, Jumaat ini.

Majlis perkahwinan di rumah keluarga perempuan sepatutnya diadakan Sabtu ini manakala bagi keluarga lelaki pula dijadual pada Ahad ini.
Artikel Berkaitan:


Dalam kad kahwin itu dinyatakan majlis perkahwinan Allahyarham dijadual berlangsung di rumah keluarga kedua-dua pihak di Alor Setar, Kedah.

Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya meninggal dunia 9.41 malam tadi selepas 20 hari bertarung nyawa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!