PETALING JAYA - Sebagai tarikan kepada pelanggan hidung belang, sebuah premis bertindak 'menyajikan' pekerja seks wanita warga asing dengan meletakkan mereka di dalam cermin seperti berada di dalam akuarium. Aktiviti tersebut bagaimanapun tumpas apabila sepasukan polis dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor membabitkan dua pegawai serta 10 anggota menyerbu premis tersebut yang terletak di Taman Bukit Mayang di sini. Menurut Pegawai Turus D7 IPK Selangor Deputi Superintendan Azmi Syukor, Serbuan Ops Noda itu bermula jam 12.30 tengah malam tadi. Katanya, ketika serbuan rata-rata wanita terbabit sedang melayan pelanggan di bilik yang dikhaskan. "Modus operandi premis yang dipercayai telah aktif sejak dua minggu lalu itu adalah memperagakan wanita warga asing di dalam cermin seolah-olah akuarium bagi pelanggan membuat pilihan. Malah kegiatan ini juga dipromosikan melalui aplikasi Wechat. "Bagi mengelakkan kegiatan tidak bermoral itu dikesan pihak berkuasa, premis hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja memasuki premis," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan. Azmi berkata, siasatan awal mendapati premis terbabit juga dikesan menawarkan khidmat urutan badan ke badan (B2B) dan urutan batin dengan harga RM150 untuk satu jam. Katanya, hasil serbuan itu seramai 11 wanita membabitkan lapan warga Vietnam dan tiga warga China ditahan. "Turut ditahan 12 orang pelanggan serta dua penjaga premis warga tempatan. Polis kemudian merampas pelbagai barang seperti minyak urut, tuala, tisu serta wang tunai berjumlah lebih RM2,000. Kesemua mereka yang di tahan berusia antara 25 hingga 35 tahun di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.