Anak pukul ibu dengan serpihan atap rumah
KUALA TERENGGANU - Seorang wanita warga emas cedera di kepala akibat dipukul dengan serpihan atap rumah oleh anak lelakinya sendiri, dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Padang Nenas, Mengabang Telipot, Kuala Nerus, Selasa lalu.
Kejadian kira-kira jam 12 tengahari itu berlaku selepas mangsa berusia 70-an berkeras enggan memberikan RM10 seperti yang diminta suspek, 30-an kerana sebelum ini anak lelakinya itu kerap meminta wang.
Menurut sumber, akibat keputusan nekad mangsa itu, suspek naik hantu sebelum mengamuk dengan bertindak memaki hamun wanita warga emas itu dan memecahkan barangan yang ada di dalam rumah.
"Masih tidak berpuas hati atas 'kedegilan' ibunya, suspek mengambil serpihan atap rumah di pekarangan rumah lalu bertindak memukul kepala wanita itu.
"Tanpa belas simpati, suspek terus memukul ibunya sehingga mangsa terjatuh kerana kesakitan selain mengalami kecederaan sakit dan bengkak di kepalanya," katanya ketika dihubungi.
Sumber berkata, terkejut melihat mangsa yang menangis menahan kesakitan, suspek terus melarikan diri meninggalkan ibunya yang mengalami kecederaan itu bersendirian.
"Kejadian menimpa mangsa hanya disedari anak perempuan yang tinggal bersamanya selepas terdengar suara wanita itu menjerit meminta tolong.
"Tidak berpuas hati dengan perbuatan suspek, anak perempuan mangsa, 52, mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya selain bimbang akan keselamatan mangsa serta ahli keluarga pada masa akan datang," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian di Balai Polis Gong Badak, di sini.
Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (pindaan) 2012.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!