Pemimpin jangan bermusim bila jumpa rakyat

Mohd Rafiq (tengah) ketika menyantuni rumah seorang penduduk di Kampung Lanjut Manis, Krubong, di sini hari ini.
Mohd Rafiq (tengah) ketika menyantuni rumah seorang penduduk di Kampung Lanjut Manis, Krubong, di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - [DIKEMASKINI] Kepimpinan masyarakat DUN Paya Rumput disarankan tidak menjadikan program turun padang rumah ke rumah sebagai lawatan bermusim sama ada menjelang PRU mahupun hari raya.

ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohiden berkata, pendekatan itu perlu digunapakai secara berterusan dalam mencari dan membela nasib golongan yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal, warga emas, anak yatim dan fakir miskin daripada terus dipinggirkan.

Menurutnya, kaedah hanya menunggu golongan tersebut tampil mahu pun datang ke pejabat bagi membuat permohonan yang layak seperti bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Majlis Agama Islam Melaka tidak lagi relevan untuk dipraktikkan kerana saf Majlis Pengurusan Komuniti Kampung yang dilantik berperanan membela nasib rakyat.

"Selain turun padang, inisiatif Japerun Paya Rumput mengadakan hari bertemu pelanggan pada hari Ahad setiap dua minggu sekali bagi memberi peluang lebih ramai rakyat yang mempunyai masalah termasuk aduan rakyat berpeluang untuk menyalurkan kepada pihaknya untuk diambil tindakan.

"Rakyat perlu menjadi keutamaan dan kepentingan, kenapa apabila PRU kita boleh turun rumah ke rumah namun pada hari lain kenapa ia tidak dilakukan dan diteruskan.

"Turun padang ini mesti menjadi agenda penting untuk kita menyelami hati rakyat dan permasalahan mereka secara berterusan dan tidak hanya pada Ramadan atau menjelang hari raya," katanya.

Mohd Rafiq (kiri) ketika menyampaikan sumbangan pada program itu kepada seorang penerima. (Gambar kecil: Jamilah)
Mohd Rafiq (kiri) ketika menyampaikan sumbangan pada program itu kepada seorang penerima. (Gambar kecil: Jamilah)

Mohd Rafiq berkata demikian kepada pemberita selepas program Konvoi 24 jam Kasih Ramadan Sinar Aidilfitri peringkat negeri bagi menyantuni penduduk kurang bernasib baik dalam DUN Paya Rumput di Krubong Jaya, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mohd Rafiq yang juga Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan berkata, program berkenaan merupakan medium kepada golongan muda terutamanya untuk melakukan kerja amal dan bersama dalam masyarakat.

"Ini merupakan program konvoi 24 jam tanpa henti secara berperingkat, bermula dari program sahur hinggalah berbuka menziarahi 100 buah rumah penerima sumbangan sekitar negeri ini," katanya.

Sementara itu, penerima, Jamilah Raj Mohd, 57, berkata, dia yang bekerja sebagai tukang masak dengan gaji hari RM40, terharu dan bersyukur didatangi kumpulan berkonvoi membawa barangan keperluan dapur dapat meringankan beban membuat persiapan raya tidak lama lagi.

"Inilah pertama kali rumah saya dilawati wakil rakyat, saya berterima kasih kepada mereka dan berharap mereka juga dapat mempercepatkan permohonan JKM saya.

"Saya sedih memikirkan keadaan abang yang memerlukan wang bagi menjalani pembedahan jantung tidak lama lagi," katanya yang menggalas tugas sebagai ketua keluarga setelah suaminya semakin uzur manakala abang mempunyai sakit jantung.

Pada program itu, Mohd Rafiq menyelusuri beberapa kawasan dalam DUN tersebut antaranya Kampung lanjut Manis, Kampung Tanah Merah, Kampung Paya Rumput Hilir dan Taman Krubong Jaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!