2,000 kotak makanan disediakan di Penang Street Iftar

Zahar (kanan) bersama beberapa pimpinan PH Pulau Pinang memegang poster Penang Street Iftar yang akan diadakan pada 30 Mei ini.
Zahar (kanan) bersama beberapa pimpinan PH Pulau Pinang memegang poster Penang Street Iftar yang akan diadakan pada 30 Mei ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 2,000 kotak makanan akan disediakan dalam majlis berbuka puasa, Penang Street Iftar yang akan diadakan pada 30 Mei ini.

Pengarah Komunikasi Amanah Pulau Pinang, Zahar Zainul berkata, majlis berbuka puasa itu merupakan anjuran Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang yang julung-julung kali diadakan.

Menurutnya, apa yang menarik, Penang Street Iftar akan diadakan di sepanjang Jalan Buckingham iaitu bersebelahan Masjid Kapitan Keling di sini.

"Selalunya berbuka puasa dibuat di hotel, restoran atau masjid. Tetapi kali ini kami membawa kelainan apabila dibuat di atas jalan raya. Pada mulanya kami bercadang semua yang hadir makan bersila tetapi disebabkan cuaca tidak menentu, maka meja akan disediakan.

"Meja sepanjang satu kilometer akan disediakan dalam majlis itu nanti. Ia dibuka kepada semua lapisan masyarakat dan pelbagai agama dan bangsa. Semua dijemput hadir. Makanan berasaskan sayur (vegetarian) juga disediakan," katanya pada sidang media hari ini.

Zahar berkata, Jalan Buckingham akan ditutup 36 jam bermula tengah hari pada 29 Mei ini.

"Bagi memudahkan persediaan majlis, kita akan menutup jalan terlibat bermula 12 tengah hari 29 Mei sehingga 12 tengah malam 30 Mei ini.

"Antara pemimpin yang akan turut memeriahkan Penang Street Iftar ini adalah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!