'Dapat merasa kasut raya baharu'

Mohd Azhar (tiga, kanan) bergambar bersama salah seorang penerima dalam program berkenaan.
Mohd Azhar (tiga, kanan) bergambar bersama salah seorang penerima dalam program berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - 'Alhamdulilah, tahun ini dapat merasa kasut raya baharu," luah seorang pelajar dari Sekolah Agama Taman Desa Jaya di sini apabila dibawa membeli kelengkapan raya oleh Hospital Pakar KPJ Johor hari ini.

Mohamad Adam Mukhriz Romlee, 13, berkata, dirinya bersyukur menerima bantuan itu selepas beberapa tahun tidak berpeluang membeli kasut raya.

"Biasanya beli baju sahaja sehelai, sebab ayah sudah tidak bekerja kerana terlibat dalam kemalangan empat tahun lalu. Bila dapat bantuan macam ini memang saya gembira sangat, boleh merasa kasut baharu.

"Terima kasih kepada pihak yang terlibat dan guru-guru kerana memberikan saya peluang ini, ia akan menjadi sesuatu yang amat bermakna buat saya untuk raya kali ini," katanya.

Seorang lagi penerima, Nur Asyura Afrina Mohd Gaddafy, 12, berkata, dirinya pula menggunakan bantuan diterima itu untuk turut membelikan pakaian bagi adik lelakinya yang berusia 6 tahun.

"Untuk raya kali ini saya sudah beli beberapa baju, ada lebihan bantuan ini saya belikan juga untuk adik bongsu saya sebab adik perempuan bawah saya pun ada terima bantuan," katanya.

Seramai 21 pelajar Sekolah Agama Taman Desa Jaya yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan dan anak yatim itu masing-masing menerima wang sebanyak RM300 untuk membeli kelengkapan dan persiapan hari raya.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Mohd Azhar Abdullah berkata, program tanggungjawab sosial korporat itu merupakan acara tahunan yang dilakukan bagi setiap musim perayaan.

"Program ini kita berjaya laksanakan hasil daripada kutipan dana konsultan dan juga sumbangan ikhlas yang diterima daripada kakitangan hospital sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Untuk program tahun ini, kita telah berjaya mengumpul derma dalam bentuk tunai berjumlah RM9,000. Wang inilah yang kita gunakan untuk membantu penerima mendapatkan keperluan mereka untuk hari lebaran nanti," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Beli Belah Aeon Bukit Indah di sini semalam.

Beliau berkata, selain dapat membantu golongan kurang berkemampuan, program berkenaan juga diadakan bagi menerap nilai-nilai murni dan sikap saling membantu dalam kalangan pekerja Hospital Pakar KPJ Johor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!