Google doodle khas untuk Sudirman
SHAH ALAM - Google mengabadikan lakaran atau 'doodle' khas buat penyanyi legenda tersohor, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke - 65 Allahyarham, hari ini.
Lakaran itu dihasilkan daripada gabungan warna ungu, kuning, merah jambu selain lukisan kartun watak Sudirman sedang membuat persembahan berlatarkan lampu neon yang membentuk tulisan Google.
Bukan itu sahaja, lakaran perkataan Google itu juga memaparkan ikonik tanda tangan Sudirman.
Pencapaian Sudirman sebagai penyanyi, penulis, komposer, artis seni visual dan pelakon yang pernah membanggakan Malaysia ke pentas dunia pastinya diingati peminat sehingga kini.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang penyanyi apabila dinobatkan sebagai juara Bintang RTM pada 11 Ogos 1976.
Selain itu, beliau juga adalah satu-satunya pemegang gelaran 'Penghibur Nombor 1 Asia' (pada 19 Mac 1989) dari Pahang, Malaysia sebelum kehadiran Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Di samping itu, gelaran yang lain yang diberikan kepada beliau seperti 'Penghibur Milik Masyarakat', 'Seniman Rakyat' dan 'Elvis Malaysia'.
Antara konsert Sudirman paling diingati ialah konsert percuma di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 15 April 1986 yang dihadiri lebih 100,000 penonton.
Diangkat menggunakan kren saat membuat persembahan, nama Sudirman disorak peminat-peminatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Sepanjang 16 tahun kerjayanya dalam lapangan seni suara tanah air, Sudirman telah merakamkan 15 album studio, 52 album kompilasi dan puluhan lagu hitsnya serta memenangi pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa.
Antara lagu hitsnya, 'Balik Kampung' sempena Hari Raya Aidilfitri dan lagu 'Tanggal 31 Ogos' sempena Hari Kemerdekaan.
Sudirman meninggal dunia di kediaman kakaknya, Datin Rodziah Arshad di Bangsar pada 22 Februari 1992 selepas tujuh bulan bertarung dengan penyakit radang paru-paru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!