Langkawi bakal jadi pengeluar utama beras pulut
LANGKAWI - Langkawi berpotensi menjadi pengeluar beras pulut utama di Malaysia melalui projek penanaman padi pulut dijangka dilaksana pada September depan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, projek tanaman padi pulut itu dilaksanakan demi mengurangkan kebergantungan negara kepada beras pulut import, sekaligus meningkatkan pendapatan petani.
Katanya, Jabatan Pertanian akan mengenal pasti dan menyediakan kawasan luas untuk tujuan penanaman padi pulut sebagai projek berasingan daripada tanaman padi biasa.
"Melalui projek itu, kita yakin ia mampu menjana pendapatan untuk penduduk, sekaligus menjadikan Langkawi sebagai pengeluar beras pulut utama negara.
"Projek berkenaan diyakini menjanjikan pulangan lumayan dan meningkatkan pendapatan petani memandangkan harga beras pulut lebih tinggi dari harga beras biasa," katanya.
Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran KIDA di Kompleks Angkatan Pertahanan Awam (APM) Langkawi, di sini, tadi.
Turut hadir, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John, Pegawai Daerah Langkawi, Muhammad Arof Darus, Pegawai Kemajuan Kedah, Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Mohd Asri Redha Abdul Rahman, ADUN Ayer Hangat, Juhari Bulat dan Adun Kuah, Mohd Firdaus Ahmad.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi, berharap penduduk Langkawi dapat menyahut seruan kerajaan untuk mengusahakan tanaman padi pulut itu.
Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata, penduduk Langkawi turut disarankan tidak mengimportkan bekalan dari luar sebaliknya menanam sayur-sayuran kerana ia memiliki permintaan tinggi seperti hotel-hotel di daerah itu.
Untuk itu, katanya, cara penanaman sayur secara bertingkat yang akan memberi pendapatan lumayan turut akan diperkenalkan kepada penduduk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!