Masalah kewangan punca kes cerai tinggi
KUALA LUMPUR - Masalah kewangan antara penyebab utama kes perceraian di negara ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.
Mengambil contoh statistik melibatkan pasangan bukan Islam, beliau berkata daripada 6,901 kes perceraian dalam kalangan pasangan bukan Islam yang dicatatkan sepanjang tahun lepas, 2,971 kes berpunca daripada masalah itu.
"Masalah kewangan is a huge thing, berdasarkan statistik tribunal perkahwinan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) majoriti kes (perceraian dalam kalangan bukan Islam) yang dirujuk adalah berpunca daripada masalah kewangan,” katanya selepas melawat program Women of Will's (WOW) Community Kitchen di PPR Batu Muda, di sini hari ini.
Yeoh berkata, lebih membimbangkan jumlah perceraian yang meningkat itu juga menyumbang kepada peningkatan kes penderaan kanak-kanak yang membabitkan paling ramai golongan ibu.
"Masalah kewangan, kes perceraian dan dera kanak-kanak ini saling berhubung, apabila bercerai disebabkan kewangan, ibu biasanya akan hilang punca pendapatan dan tertekan maka penderaan boleh berlaku," katanya.
Mengenai program itu, Yeoh berkata projek perintis yang pertama diwujudkan di ibu kota itu melibatkan 10 ibu tunggal dari golongan B40 (pendapatan terendah) yang diberi latihan memasak kek dan pastri serta kemahiran keusahawanan serta dipantau oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Apa yang saya suka tentang projek ini (WOW Community Kitchen) adalah ia dilaksanakan di tempat tinggal mereka, jadi mereka boleh mainkan peranan sebagai ibu terus dari tempat kerja," katanya.
Katanya, kementerian akan terus meneliti keperluan ibu tunggal yang menjadi mangsa perceraian dalam memastikan golongan itu mempunyai pendapatan sendiri dan hidup berdikari.
Beliau, yang juga Anggota Parlimen Segambut, turut mengumumkan peruntukan RM10,000 bagi menyokong inisiatif yang menyasarkan untuk membantu lebih ramai golongan B40. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!