Pemuda Amanah kesan program UMNO, Pas salah guna masjid
IPOH - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mengenal pasti sekurang-kurangnya empat program yang jelas menggunakan nama parti telah dijalankan di masjid dan surau sekitar negeri ini oleh UMNO dan Pas.
Ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, tindakan dua parti berkenaan secara terang melanggar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar masjid dan surau tidak dijadikan pentas permainan politik.
"Penggunaan masjid dan surau dalam aktiviti yang jelas membawa mesej politik kepartian adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan melanggar titah Tuanku Sultan.
"Semasa baginda Sultan menjadi Raja Muda Perak, baginda pernah bertitah bahawa masjid dan surau tidak wajar dijadikan pentas untuk permainan politik, sebaliknya hendaklah menjadi instrumen perpaduan untuk menyatupadukan ummah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Hasnul Zulkarnain empat masjid dan surau yang terlibat terletak di Ayer Tawar, Teluk Intan dan Ipoh di mana program berkenaan dianjurkan oleh UMNO dan Pas.
"Antaranya adalah program yang dianjurkan oleh Wanita UMNO dan Muslimat Pas Lumut di Masjid Terapung Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar dan Masjid Al-Khairiah Kg Banjar, Teluk Intan yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO.
"Surau lain yang digunakan untuk menganjurkan program atas nama parti adalah Surau Klebang Prima yang membawa kain rentang berlogo parti UMNO dan Pas di dalam masjid, dan Surau Al-Ittihad di Kampung Temiang Ipoh yang membawa Timbalan Presiden Pas dalam program tersebut," katanya.
Justeru itu, Hasnul Zulkarnain meminta semua pihak termasuk UMNO dan Pas menjalankan program parti di premis lain pada masa akan datang dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan masjid serta surau berselindung di sebalik program keagamaan.
"Kami juga ingin menasihatkan kepada semua AJK masjid dan surau yang dilantik agar dapat bertindak tegas dalam perkara ini meskipun ada sebahagian cenderung menyokong pasrti-parti tertentu.
"Kami juga menggesa Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertindak lebih profesional dalam memantau aktiviti yang dijalankan di masjid dan surau negeri ini yang dijadikan pentas permainan politik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!