Waspada ujian tersirat
SETIAP manusia tidak boleh lari daripada ujian. Bagi mereka yang bersabar dan reda dengan ujian banyak hikmah akan diperoleh antaranya mematangkan diri, belajar atas kesilapan, lebih berhati-hati serta akan diangkat ke darjat yang lebih tinggi.
Hakikatnya ujian tidak akan pernah habis sehingga kita dijemput Ilahi.
Walaupun nampak mudah untuk menghadapi ujian dengan hanya bersabar dan reda, namun proses untuk sabar dan reda penuh dengan cabaran dan kesangsian. Pun begitu, setiap ujian perlu dihadapi dan ditangani supaya kita tidak tersungkur sebelum ajal.
Sebetulnya, ujian tersurat adalah lebih mudah nampak dan ditangani berbanding dengan ujian tersirat. Bagi mereka yang diduga dengan ujian tersurat seperti sakit, kemiskinan, kecelakaan, maruah dicalar dan tercalar serta pelbagai ujian lagi, mereka bukan sahaja boleh mengenal pasti dengan cepat ujian yang dikenakan kepada mereka, malah memudahkan pihak ketiga menyusun strategi untuk membantu mereka yang berkenaan.
Walaupun amat sukar untuk menerimanya, namun sifat sabar, berusaha dan berdoa harus digandakan supaya tidak memudaratkan lagi.
Bagi kelompok yang dikenakan ujian tersirat mereka bukan sahaja sukar untuk mengenal pasti adakah itu ujian untuk mereka? Malah pihak ketiga juga sukar untuk membantu. Ujian tersirat yang dimaksudkan ialah ujian dengan kesenangan, kelapangan, kekayaan, kealiman, kesihatan yang baik, ketinggian ilmu dan darjat serta ujian diberikan penghormatan, pujian dan pujaan.
Pendek kata, kesemua ujian tersirat ini meletakkan mereka dalam keadaan hebat dan sempurna. Justeru, siapakah pihak ketiga yang berani untuk menegur kesempurnaan mereka tanpa mereka menyedari bahawa kesempurnaan itu adalah sebenarnya ujian.
Sempena dengan bulan Ramadan ini, bukan sedikit yang menggandakan amalan mereka bagi tujuan mendapatkan pengampunan dan rahmat daripada ALLAH. Pun begitu, mereka lupa bahawa keupayaan mereka menggandakan amal ibadat juga merupakan suatu ujian. Kerap kali didengari sindiran daripada kelompok ini kepada mereka yang sudah tidak datang ke masjid untuk solat tarawih dan bertadarus. Malah sikap suka mengumpat dan mengata di belakang masih diteruskan seperti biasa.
Rasulullah SAW bersabda, “Sebenarnya orang yang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat tetapi sewaktu di dunia mereka pernah memaki, menuduh, memakan harta dan menumpahkan darah si polan. Maka akan diberikan segala pahala kebaikan kepada orang teraniaya tadi. Namun sekiranya telah habis pahala kebaikannya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya masih lagi belum dijelaskan, maka akan diambil daripada kesalahan orang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut. Maka akan dicampakkan ke dalam api neraka” (Hadis Riwayat: Muslim)
Bagi mereka yang senang pula, masih ada memilih-milih dalam memberikan bantuan. Jika menerusi badan bukan kerajaan tersohor namanya, mereka cukup lekas untuk menyumbang sedangkan masih ramai kelompok kejiranan dan saudara yang susah kehidupannya. Malah ada yang lebih suka membantu orang di luar negara berbanding masyarakat tempatan.
ALLAH berfirman, “Katakanlah, jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isterimu, keluarga-keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang disukai adalah lebih kamu cintai daripada ALLAH dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga ALLAH mendatangkan keputusan-Nya dan ALLAH tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik.” (Surah Al-Taubah 9:24)
Ingatlah! Ujian dalam bentuk kesempurnaan lebih sukar ditangani berbanding ujian kesukaran. Bila kita diuji dengan kesukaran, tentunya kita berusaha segigihnya untuk melepasi ujian tersebut. Namun jika diuji dengan kesempurnaan, tidak ramai yang sedar itu adalah ujian yang lebih besar.Pun begitu, mereka lupa bahawa keupayaan mereka menggandakan amal ibadat juga merupakan suatu ujian.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!