UMNO-Pas makin erat, mesra
ALOR SETAR - Kerjasama UMNO, BN dan Pas dilihat semakin erat pada Ramadan kali ini, apabila kedua-dua parti politik saling bantu-membantu melaksanakan program kebajikan dan dakwah.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata, pemimpin dari kedua-dua parti juga dilihat bersama menyertai majlis yang dianjurkan, membuktikan hubungan dua parti Melayu itu semakin mesra.
Menurutnya, aura penyatuan umat Islam seperti ini sudah lama diidam-idamkan tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik.
“Kita sama-sama berbuka puasa, bertarawih, beriktikaf, bertadarus dan mengimarahkan Ramadan dengan penuh semangat. Semua aktiviti itu dilakukan bersama-sama,” katanya, dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ketua Penerangan UMNO Kedah itu berkata, sesungguhnya terlalu besar hikmah di sebalik apa yang berlaku pada tanggal 9 Mei tahun lalu.
“Keinsafan, pengorbanan, ketabahan, keikhlasan dan keazaman yang tinggi telah meningkatkan lagi jati diri rakyat terutama masyarakat Melayu Islam untuk bangkit berpadu,” katanya.
Menurutnya, apatah lagi apabila melihat kedudukan Islam dan kepentingan orang Melayu semakin terancam, menyebabkan umat Islam bangkit bersama UMNO-BN dan Pas sebagai wadah perjuangan.
“Rakyat sudah dapat melihat huru-hara pentabdiran negara yang berlaku di depan mata, biarlah mereka sendiri menilai. Katanya ‘tidur sebantal’, namun jelas ‘mimpinya’ lain-lain,” katanya, sinis.
Suraya berkata, namun apa yang UMNO-BN dan Pas dapat tawarkan hanyalah nafas baharu sebuah pentadbiran yang lebih baik berbanding dahulu dan sekarang.
“Demi barakah Ramadan yang menjadi saksi penyatuan umat Muhammad SAW di Malaysia, marilah kita berdoa kepada ALLAH SWT agar dikurniakan kekuatan untuk mempertahan dan kembali mengimarahkan Islam serta kepentingan bangsa di negara ini,” katanya.
Khamis lalu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO dan Pas akan memeterai satu piagam bersama selepas Aidilfitri ini bagi membentuk kerjasama rasmi.
Pembentukan piagam itu kini di peringkat akhir penelitian oleh jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan oleh kedua-dua parti sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!