25 Ketua Penaja Bahagian Armada Bersatu terima watikah pelantikan

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua puluh lima Ketua Penaja Bahagian Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menerima watikah pelantikan masing-masing hari ini.

Watikah pelantikan berkenaan disampaikan oleh Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu majlis di sini yang turut dihadiri Ketua Penyelaras Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Syed Saddiq berkata ia adalah salah satu lagi lakaran sejarah bagi Armada Bersatu yang secara rasminya telah melebarkan sayap ke Sabah.

"Saya melihat pergerakan Armada Bersatu di Sabah sangat cepat dan saya berharap momentum itu diteruskan untuk mendekati lebih ramai anak muda di Sabah.

"Saya mahu tekankan bahawa asas kekuatan parti adalah anak muda dan saya berharap mereka yang baharu menerima watikah pelantikan memahami apa itu asas perjuangan Armada Bersatu... dalam Bersatu tiada tembok yang memisahkan kita," katanya.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata dalam masa terdekat beliau akan mengadakan perbincangan bersama pimpinan Armada Bersatu Sabah untuk mengupas pelbagai isu berkaitan anak muda di Sabah.

"Kita akan membincangkan isu mustahak berkaitan anak muda...kita perlu meraih sokongan golongan muda oleh itu kita kena bincang apa perkara yang perlu dilakukan untuk mendekati mereka," katanya yang menyasarkan seramai 100,000 keanggotaan golongan muda Sabah dalam Armada Bersatu menjelang tahun hadapan. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!