Disney's Aladdin diberi suntikan nafas baharu

Poster filem Aladdin
Poster filem Aladdin
A
A
A

BAGI mereka yang membesar dengan animasi klasik terutamanya daripada Walt Disney Studios, filem seperti Cinderella, Aladdin, Beauty and the Beast, Snow White, Sleeping Beauty dan Rapunzel, pastinya tidak asing lagi.

Apabila menginjak dewasa, kebanyakannya pasti mahu menyaksikan bagaimana rupanya apabila watak kegemaran diadaptasi menjadi realiti.

Justeru, selepas berjaya tampil dengan beberapa filem live action seperti Cinderella dan Beauty and the Beast, Walt Disney Pictures tampil dengan Disney’s Aladdin.

Filem yang diarahkan oleh Guy Ritchie ini menyaksikan Mena Massoud membawakan watak Aladdin, Naomi Scott sebagai Princess Jasmine dan Will Smith ditukar menjadi jin biru bernama Genie.

Selain tiga watak utama ini, filem ini juga turut dijayakan Marwan Kenzari, Navid Negahban, Nasim Pedrad, Billy Magnussen, Numan Acar, Robby Haynes, Jordan A. Nash, Taliyah Blair, Aubrey Lin dan Amir Boutrous.

Secara asasnya, filem ini mengisahkan Aladdin seorang pemuda jalanan yang hidup bersama monyet peliharaannya, Abu. Dia kemudian jatuh cinta kepada puteri negara Agrabah, Jasmine.

FOTO: WALT DISNEY STUDIOS
FOTO: WALT DISNEY STUDIOS

Suatu hari, Aladdin diminta oleh Wazir Sultan, Jafar untuk mendapatkan lampu ajaib yang ada di dalam cave of wonders, sebuah gua yang memiliki banyak harta karun.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, berlaku satu insiden sehingga Aladdin terperangkap di dalam gua tersebut dan telah membebaskan jin daripada lampu ajaib itu. Pembebasan itu membolehkan Aladdin membuat permintaan tiga hajat.

Bagaimanapun segalanya tidak semudah disangka dan dalam usahanya memikat Puteri Jasmine dengan bantuan Genie itu, dia terperangkap sama ada untuk bersikap jujur atau terus berpura-pura.

Bukan itu sahaja, Aladdin juga perlu menghalang Jafar untuk menjatuhkan Sultan kerana mahu menguasai Agrabah.

Biarpun diadaptasi daripada animasi berjudul sama, namun produksi filem ini tidak mengambil 100 peratus perjalanan filem itu, sebaliknya diolah dan disuntik dengan jalan cerita yang sedikit berbeza.

Boleh dikatakan, hanya 70 peratus jalan cerita asal dikekalkan bersama lagu-lagu di dalam filem animasi seperti One Jump Ahead, A Whole New World, Friend Like Me, dan Prince Ali tetapi telah diberi suntikan nafas baharu.

FOTO: WALT DISNEY STUDIOS
FOTO: WALT DISNEY STUDIOS

Secara jujurnya, penulis pada asalnya tidak bersetuju dengan pemilihan Mena sebagai teraju utama. Namun, ternyata Mena berjaya memberikan pesona tersendiri untuk watak Aladdin sehingga dia kelihatan lebih berkarisma dan menawan daripada watak animasi.

Begitu juga dengan Will yang tampil dengan cara tersendiri serta melucukan dalam menjayakan watak Genie.

Hanya dua watak yang agak mengganggu pandangan penulis iaitu Marwan yang tidak nampak cukup psiko dan mengerikan seperti watak animasi sebagai Jafar.

Bagi penulis Marwan tidak begitu menyerlah dalam menjayakan watak antagonis. Manakala pemilihan Naomi pula, penulis berpendapat pelakon itu tidak cukup wajah timur tengah untuk menjayakan watak Puteri Jasmine.

Dari segi lakonan dan penghayatan watak penulis tidak ada masalah, dia berjaya menghidupkan karakter Puteri Jasmine, hanya dari sudut rupa paras sahaja yang nampak seolah-olah tidak masuk dengan rupa animasi.

FOTO: WALT DISNEY STUDIOS
FOTO: WALT DISNEY STUDIOS

Bagaimanapun dari sudut lain seperti lokasi set penggambaran melibatkan kota Agrabah, istana, gua, bagi penulis cukup sempurna.

Begitu juga dengan koreografi, runut bunyi dan jalan cerita yang cukup menghiburkan sehingga akan membuatkan anda tersenyum sendiri semasa menonton filem ini.

Secara keseluruhan, ia masih sebuah filem yang berbaloi untuk ditonton, lebih-lebih lagi buat peminat setia Disney.

Bagi anda yang mungkin inginkan kelainan, Disney’s Aladdin juga boleh ditonton dalam versi bahasa Melayu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!