Budak perempuan terperangkap dalam mesin basuh kedai dobi
JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak perempuan terperangkap dalam mesin basuh automatik di sebuah kedai dobi layan diri di Larkin Perdana 2, Taman Larkin Perdana di sini hari ini.
Difahamkan, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu masuk ke dalam mesin tersebut ketika sedang bermain bersama beberapa rakannya di kedai dobi berkenaan.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Kamil Zulkifli berkata, makluman berhubung kejadian itu diterima pihaknya pada jam 16.38 petang.
Menurutnya, operasi mengeluarkan mangsa daripada peralatan itu melibatkan seramai lapan anggota bersama sebuah jentera.
"Mangsa dipercayai masuk dahulu ke dalam tersebut untuk bermain sebelum rakan-rakannya bertindak menutup pintunya.
"Perkara itu disedari orang dewasa yang lain apabila hendak menggunakan mesin basuh di kedai itu.
“Bomba kemudiannya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat dengan memotong kunci pada penutup mesin basuh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Kamil berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira tiga minit untuk mengeluarkan mangsa.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada maklumat mangsa yang dapat diperolehi kerana dia masih trauma dan terus berlari balik ke rumah," katanya.
Menurutnya, operasi kemudian ditamatkan pada jam 4.55 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!