Mazlan umum kepimpinan baharu Bersatu Johor

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang hari ini memulakan tugas secara rasmi sebagai Pengerusi Bersatu Johor yang baharu.

Mazlan yang ditemui pemberita di Pejabat Bersatu Bahagian Tebrau di Taman Daya, di sini melahirkan kesyukuran dan terima kasih kepada Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad, serta Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan melantik beliau sebagai pengerusi.

"Saya berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk memperkukuhkan Bersatu Johor, supaya berada di landasan terbaik.

"Pelantikan saya sebagai Pengerusi Bersatu Johor adalah bertarikh 24 April lepas, namun saya memulakan tugas rasmi berkuatkuasa hari ini," katanya.

Mazlan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa dan bekas Bendahari Bersatu Johor berkata selaras dengan peruntukan 16.3 Perlembagaan Bersatu, beliau melantik Ketua Bersatu Bahagian Ledang Mohd Solihan Badri sebagai Setiausaha Bersatu Johor yang baharu menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Mohd Solihan, yang juga ADUN Tenang sebelum ini merupakan Pengarah Media Bersatu Johor.

Menurut Mazlan, ADUN Larkin Mohd Izhar Ahmad pula dilantik sebagai Bendahari Bersatu Johor, Ketua Bersatu Bahagian Pulai Ya'cob Atan sebagai Ketua Penerangan, manakala Ketua Bersatu Bahagian Sekijang Uzzair Ismail sebagai Pengarah Media.

Katanya, jawatan Timbalan Pengerusi Bersatu Johor kekal disandang Ketua Bersatu Bahagian Iskandar Puteri Senator Ir Nasir Hashim selaras peruntukan Fasal 16.2 Perlembagaan Bersatu Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mazlan, beliau ada menawarkan kepada Dr Sahruddin, yang juga Menteri Besar Johor supaya kekal menyandang jawatan Setiausaha Bersatu Johor.

"Namun, saya dimaklumkan menerusi Solihan bahawa Dr Sahruddin sendiri menolak jawatan berkenaan (Setiausaha) demi menumpukan kepada pentadbiran kerajaan negeri.

"Tetapi, di dalam mesyuarat Bersatu negeri, kita akan jemput beliau (Dr Sahruddin) untuk turut hadir nanti," katanya.

Mazlan dalam pada itu berkata beliau akan menumpukan usaha terhadap pengukuhan perpaduan parti, menguatkan sokongan akar umbi serta menarik lebih ramai keanggotaan baharu bagi meningkatkan jumlah keanggotaan parti itu di negeri ini yang mencatatkan seramai 29,942 orang setakat Disember lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!