Pesakit maut gara-gara mesin radiasi rosak
VORONEZH - Seorang wanita yang juga pesakit kanser payudara maut ketika menjalani rawatan gara-gara mesin radiasi yang mengalami kerosakan.
Valentina Minakova, 51, maut akibat kecederaan pada dada dan abdomen apabila meja tempat dia berbaring, yang juga sebahagian daripada mesin tersebut tiba-tiba bergerak ke atas lalu menekan tubuh mangsa pada bahagian mesin yang sedang bergerak.
"Mangsa mengalami kecederaan parah yang menyebabkannya meninggal dunia serta-merta," kata laporan pejabat pendakwa daerah.
Dalam kejadian di Pusat Onkologi Klinikal Voronezh itu, Minakova dilaporkan menjerit kesakitan apabila tubuhnya dihimpit mesin radiasi tersebut namun para petugas perubatan yang bergegas ke dalam bilik setelah mendengar jeritan mangsa gagal menyelamatkannya.
Suami mangsa yang menunggu di koridor luar juga gagal berbuat apa-apa untuk menyelamatkan isterinya.
Ketika insiden berlaku, mesin radiasi buatan Czech itu dikendalikan seorang juruteknik dan bukannya seorang doktor.
Mesin terbabit dikatakan mempunyai butang kecemasan untuk menghentikan operasi namun menurut sumber, butang tersebut sama ada tidak berfungsi atau tidak ditekan.
Ketua Doktor di pusat terbabit, Ivan Moshurov berkata, meja tempat mangsa berbaring ketika menjalani rawatan bergerak ke atas secara tiba-tiba dan menekan badan mangsa pada bahagian collimator yang memancarkan radiasi gamma.
Suruhanjaya Siasatan Rusia kini menyiasat insiden sebagai kes kecuaian. - Dailymail
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!