APMM Pulau Pinang tahan lima nelayan
GEORGETOWN - Lima nelayan ditahan bersama dua bot nelayan tempatan Kelas A oleh sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang petang kelmarin.
Pengarahnya, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, bot dan kesemua nelayan itu ditahan pada jarak antara 1.0 dan 1.4 batu nautika dari Timur Laut Tanjung Bungah, di sini.
Menurutnya, bot itu ditahan ketika penguatkuasa APMM Pulau Pinang sedang membuat rondaan pada jam 5.15 petang kelmarin.
"Ketika menjalankan rutin rondaan di sekitar perairan Pulau Pinang, kita mengesan dua buah bot nelayan tempatan Kelas A sedang memukat dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan mendapati, dua tekong dan seorang kru warga tempatan berusia 35, 38 dan 48 berada di bot berkenaan. Selain mereka, dua lagi kru warga Thailand berusia 28 dan 30 tahun turut berada di atas kedua-dua bot berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media pagi tadi.
Tambahnya, kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.
"Mereka disyaki melakukan kesalahan itu kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan lesen bot yang telah tamat tempoh.
“Turut dirampas, empat unit pukat hanyut, hasil udang anggaran 15 kilogram dirampas. Kesemua yang ditahan dan barangan termasuk dua buah bot dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!