Guna alasan mahu solat Dhuha sebelum curi tabung masjid
TUMPAT - Seorang lelaki menggunakan alasan mahu menunaikan solat Dhuha sewaktu singgah di Masjid Khairiah Mukim Chabang Empat sebelum mencuri duit dalam tabung masjid berkenaan.
Perbuatannya itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan pada jam 9 pagi, Khamis lalu.
Tukang sapu masjid, Rohani Jaafar, 45, berkata, lelaki itu datang dengan motosikal singgah di masjid ini untuk ke tandas.
Katanya, selepas keluar dari tandas, dia meminta izin naik ke masjid untuk mengerjakan solat Dhuha.
"Dia masuk ke dalam masjid tapi yang peliknya, pintu masjid ditutup.
"Saya masa tu sedang menyapu halaman masjid, mula rasa tak sedap hati bila dia lama sangat berada di dalam," katanya ketika ditemui di Masjid Mukim Khairiah Chabang Empat hari ini.
Menurutnya, dia kemudiannya ke belakang masjid dan mengintai melalui tingkap dan ternampak lelaki berkenaan sedang leka 'memancing' duit dalam tabung masjid.
"Bila ternampak saya, dia terus buang pancing dawai dan duduk kononnya sedang solat," katanya.
Menurutnya, dia kemudiannya bertindak menyergah lelaki tersebut sebelum dia beredar dari masjid.
"Saya tak dapat minta tolong dengan orang ramai sebab kawasan ni sunyi. Hanya saya seorang saja di kawasan masjid ketika kejadian," katanya.
Sementara itu, Imam Tua Masjid Khairiah Mukim Chabang Empat, Daud @ Ab Aziz Ab Rahman berkata, pihak masjid kemudiannya memeriksa rakaman CCTV di masjid dan nampak kegiatan mencuri lelaki tersebut.
"Sebelum ni dah beberapa kali kejadian pancing tabung masjid, sebab itu di kawasan masjid ini dipasang CCTV," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!