Pemilik pusat tuisyen terbakar di India didakwa

Ketua Menteri Gujarat, Vijaybhai Rupani (tiga dari kiri) berdiri berhampiran mayat salah seorang mangsa yang maut ekoran kebakaran bangunan yang menempatkan sebuah pusat tuisyen haram di bandar Surat pada 24 Mei lalu. - Foto AFP
Ketua Menteri Gujarat, Vijaybhai Rupani (tiga dari kiri) berdiri berhampiran mayat salah seorang mangsa yang maut ekoran kebakaran bangunan yang menempatkan sebuah pusat tuisyen haram di bandar Surat pada 24 Mei lalu. - Foto AFP
A
A
A

SURAT - Polis India mendakwa tiga pemilik sebuah pusat tuisyen haram susulan kebakaran yang menyebabkan kematian 20 pelajar.

Ketiga-tiga pemilik pusat tuisyen di Takshashila Arcade di bandar Surat itu berdepan tuduhan kecuaian sehingga menyebabkan kematian.

Menurut Komisioner Polis Satish Sharma, salah seorang pemilik pusat tuisyen terbabit, Bhargav Bhutani, telah ditahan manakala dua lagi melarikan diri.

Pihak berkuasa berkata, 16 daripada mangsa maut dalam kebakaran itu ialah pelajar perempuan yang mengikuti kelas persediaan menduduki peperiksaan di pusat tuisyen yang dibina secara haram di tingkat atas bangunan komersial itu.

Kematian seorang lagi pelajar di hospital semalam menjadikan 20 mangsa maut setakat ini, sementara itu, siasatan pihak berkuasa mendapati kesemua mangsa belajar dalam khemah plastik yang mudah terbakar.

Kesemua mangsa berusia antara 15 hingga 22 tahun dan dipercayai lebih 50 orang pelajar berada di dalam kelas ketika kebakaran berlaku.

Dalam pada itu, sumber pegawai kerajaan berkata lima daripada mangsa yang maut dijangka menerima keputusan ujian kemasukan ke universiti semalam dan kesemua mereka dilaporkan lulus dengan cemerlang. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: 19 pelajar maut kebakaran kolej di India

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!