Kesesakan di puncak tertinggi di dunia
KATHMANDU - Kesesakan trafik merupakan perkara biasa yang sering kita alami namun apabila kesesakan berlaku di puncak tertinggi di dunia, ia sesuatu yang agak luar biasa.
Perkongsian gambar oleh seorang pendaki Britain, Nirmal Purja di laman Instagram menunjukkan seramai 250 hingga 300 pendaki beratur panjang untuk menunggu giliran sampai ke puncak Gunung Everest.
Difahamkan, pendakian akhir dalam misi menawan puncak gunung tersebut tertangguh selama lebih tiga jam akibat 'kesesakan' itu dan para pendaki terpaksa berjalan dengan berhati-hati di tebing yang curam.
Gambar tersebut menjadi tular di media sosial dan ramai yang tidak menyangka 'kesesakan' sebegitu akan terjadi di Gunung Everest yang selama ini dianggap kawasan terpencil yang terasing daripada kesibukan.
Ternyata gambar tersebut membuktikan sebaliknya, malah ia menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan pendakian.
Menurut laporan, sekurang-kurangnya lapan pendaki maut dalam musim pendakian kali ini. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!