Bila peguam buat helah
DALAM kehakiman, kita selalu dengar ungkapan keadilan bukan sahaja wajib dilaksanakan tetapi mesti nampak dilaksanakan.
Oleh sebab itulah dalam pengadilan di mahkamah, segala-galanya perlu lengkap, teratur dan terperinci.
Tertuduh akan dibacakan tuduhan terhadapnya dan soalan yang pertama yang ditanya ialah dia faham atau tidak pertuduhan itu.
Kalau dia kata dia tidak faham, pihak yang menuduhnya iaitu Pendakwa Raya akan menerangkan. Bagi tertuduh yang tidak faham bahasa perbicaraan, jurubahasa akan disediakan.
Katakanlah dia kata dia faham. Dia akan ditanya pula apakah pengakuannya - bersalah atau tidak bersalah?
Selalunya dia akan mengaku tidak bersalah walaupun dia tahu dia bersalah, peguam dia tahu dia bersalah dan banyak orang lain tahu dia bersalah.
Katakan dia mengaku salah. Hakim akan tanya sama ada dia faham atau tidak apa yang sedang dia lakukan dan adakah dia sedar hukuman yang akan dijatuhkan ke atasnya.
Selalunya yang mengaku salah ini adalah orang baik yang tidak berniat melakukan jenayah tetapi terpaksa melakukannya kerana didesak oleh keadaan.
Misalnya seorang ibu tunggal yang mencuri sedikit makanan dari pasar raya kerana anak di rumah kelaparan.
Tetapi oleh sebab mahkamah tidak memilih bulu maka si ibu itu pun dikenakan hukuman yang pada pandangan orang ramai adalah tidak adil dan tidak setimpal.
Di sinilah timbulnya perbezaan yang luas di antara mahkamah undang-undang yang bertindak berdasarkan kanun tertentu dengan mahkamah pendapat umum yang berpaksikan emosi.
Kita ambil contoh perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bersabit kes yang berkaitan dengan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Banyak orang bertanya kenapa lambat sangat hendak tuduh dan jatuhkan hukuman sedangkan satu dunia nampak bertimbun duit, emas permata, jam dan beg tangan yang dirampas dari kediamannya?
Jawapannya macam di atas tadi iaitu keadilan bukan sahaja wajib dilaksanakan tetapi mesti nampak dilaksanakan. Dia mesti dibicarakan dan diberi peluang membela diri.
Kemudian beban pembuktian adalah lebih berat ke atas pihak pendakwa daripada pihak pembela. Yang inilah banyak orang tidak faham atau kata tidak adil.
Untuk sabit kesalahan, pihak pendakwa wajib membuktikan di luar keraguan (beyond reasonable doubt) bahawa tertuduh melakukan kesalahan yang dikenakan ke atasnya. Tidak boleh ada sebarang keraguan.
Tetapi di pihak pembela, mereka hanya perlu menimbulkan keraguan yang berpatutan (reasonable doubt) dan umumnya seseorang peguam tahu anak guamannya melakukan jenayah yang dituduh itu atau tidak.
Kalau tidak bersalah mereka akan merangka pembelaan mereka atas pengetahuan sulit bahawa dia tidak bersalah. Tetapi kalau mereka tahu dia bersalah, mereka akan bela juga tetapi atas dasar dia melakukan apa yang dia dituduh.
Inilah yang sedang kita tengok berlaku dalam perbicaraan Najib. Manakala pendakwa raya terpaksa membentang dan mengemukakan pelbagai bahan bukti dan berpuluh-puluh orang saksi, kerja peguam bela adalah menimbulkan keraguan terhadap bukti-bukti itu.
Tapi orang yang tahu sedikit sebanyak mengenai undang-undang, kehakiman dan perbicaraan mahkamah akan tahu atau boleh mengesan kekuatan atau kelemahan kes pihak pembela dengan melihat tingkah laku dan tindak-tanduk peguam bela.
Kes mereka kuat apabila mereka tidak banyak buat helah. Tetapi apabila kedudukan mereka lemah, mereka akan guna taktik melengah-lengahkan perbicaraan dengan meminta penangguhan atau menimbulkan isu-isu teknikal yang pada pandangan umum adalah remeh.
Jadi kita hendaklah faham bahawa proses penghakiman secara asalnya adalah kompleks apatah lagi apabila membabitkan kes berprofil tinggi seperti perbicaraan Najib ini.
Wallahuaklam.Selalunya yang mengaku salah ini adalah orang baik yang tidak berniat melakukan jenayah tetapi terpaksa melakukannya kerana didesak oleh keadaan."
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!