Hormati bulan Ramadan
BEBERAPA rakan ketika 'moreh' mengeluh dan merungut dengan orang Islam yang walaupun berpuasa tetapi tidak dapat mengawal perasaan dan terus menerus menghentam orang lain dalam media sosial.
“Kenapalah mereka ini tak serik-serik, berpuasa tetapi tangan terus mengetip ayat-ayat dan menghantar gambar dan video yang tidak senonoh,” ujar imam sambil menggeleng-geleng kepala.
Ini adalah sebahagian cetusan perasaan terhadap pengguna media sosial yang tidak dapat mengawal diri semasa menggunakan media sosial.
Pada bulan Ramadan yang penuh barakah ini sepatutnya digunakan untuk kita memberikan tumpuan terhadap ibadah berpuasa.
Namun masih ramai pengguna media sosial yang leka dan melakukan aktiviti yang bertentangan dengan ajaran dan lunas agama Islam.
Masih ramai pengguna media sosial yang terus menyebar fitnah, mengutuk dan menjatuhkan maruah individu atau organisasi, mahupun institusi.
Masih terdapat kandungan dalam pelbagai bentuk media sosial yang mengadu domba dan mengeluarkan kenyataan atau apa juga bentuk media yang berunsur lucah dan jelek.
Meskipun kerajaan sentiasa komited dalam usaha menjamin kebebasan bersuara, namun hak kepada kebebasan bersuara tidak bersifat mutlak.
Kebebasan bersuara dan menyampai pendapat masih tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada.
Maka dalam Ramadan ini, pengguna internet khususnya umat Islam sepatutnya menghormati bulan yang mulia ini.
Pihak kerajaan khususnya Suruhanjaya Multimedia Malaysia (MCMC) terus mengorak langkah mengemaskinikan dan menambahbaik undang-undang berkaitan penyalahgunaan media sosial.
Usaha yang dijalankan secara berterusan bagi memastikan peruntukan undang-undang terbabit terus kekal relevan dan selaras peredaran semasa.
Pihak kerajaan tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana pengguna media sosial yang menggugat keselamatan, kestabilan dan keharmonian negara khususnya mereka yang menghina institusi diraja, perkauman dan agama.
Antaranya, peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan adalah antara instrumen perundangan khusus bagi menangani penyalahgunaan yang berupa provokasi dan penghinaan terhadap kaum dan agama serta institusi diraja.
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula bagi kesalahan penggunaan tidak wajar hanya berasaskan aduan yang diterima daripada masyarakat awam dan daripada pihak yang terkesan.
Tindakan proaktif pihak berwajib bagi menangani kesalahan media siber ini perlu diberikan pendekatan baharu.
Kempen kesedaran perlu sentiasa dijalankan di bawah agensi kementerian seperti RTM, selain kempen yang dibuat secara terus kepada masyarakat yang bertujuan untuk mendidik.
Perkara yang melibatkan apa jua agama tanpa mengira kaum tertentu adalah satu perkara sensitif dan sentiasa diambil berat untuk diletakkan dalam kedudukan yang stabil supaya tidak wujud elemen-elemen yang boleh memecahkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bagi seseorang untuk membuat dan memulakan penghantaran apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
Sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Sewajarnya pada Ramadan ini, pengguna internet melatih diri untuk lebih berdisiplin dalam memilih dan menyebarkan maklumat positif dalam alam maya.
Maksud berpuasa bukan sahaja berlapar pada waktu siang, tetapi juga perlu mengawal hati, perasaan, mengawal apa yang perlu disebar dan memahami dan mengawal apa yang patut disebarkan.
Namun yang paling penting pengguna media sosial di negara ini mempertingkat kawalan kendiri mereka ketika mengakses Internet dan tidak menggunakannya sebagai platform untuk menyebarkan perkara-perkara sensitif yang boleh mengundang kemarahan orang awam.
* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!