Menteri Besar Johor ucap tahniah kepada Mazlan
SKUDAI - "Itu saya tidak perlu komen," demikian reaksi Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika ditanya adakah beliau ditawarkan jawatan dalam kepimpinan Bersatu negeri ini.
Bagaimanapun,Sahruddin mengucapkan tahniah atas perlantikan Mazlan Bujang sebagai Pengerusi Bersatu Johor yang baharu secara rasmi semalam.
"Saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Mazlan yang dilantik sebagai Pengerusi Bersatu Johor.
"Maka, dengan amanah telah diberikan, marilah kita bersama-sama bekerja untuk rakyat," katanya.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Program Penyerahan Bantuan Hari Raya 2019 Yayasan Penyayang Iskandar Puteri di Dewanraya Taman Universiti, di sini hari ini.
Pada program berkenaan, seramai 650 penerima dalam kalangan ibu tunggal dan mereka tidak berkemampuan menerima sumbangan RM150 setiap seorang sebagai persiapan menjelang Syawal tidak lama lagi.
Beliau berkata, sebagai pengerusi parti, ADUN Puteriwangsa itu boleh memilih barisan kepimpinan baharu yang selesa untuk bekerja dengannya.
"Jadi, tidak mengapa. Sesiapa yang dilantik, Alhamdulillah, bersyukur.
"Sekarang adalah waktu kita untuk bekerja untuk parti dan rakyat," katanya.
Semalam, Mazlan yang juga bekas bendahari Bersatu Johor mengumumkan barisan jawatankuasa Bersatu Johor termasuk melantik Ketua Bersatu Bahagian Ledang, Mohd Solihan Badri sebagai Setiausaha Bersatu Johor yang baharu bagi menggantikan Sahruddin.
Mohd Solihan, yang juga ADUN Tenang sebelum ini merupakan Pengarah Media Bersatu Johor.
Menurut Mazlan, beliau ada menawarkan kepada Sahruddin supaya kekal menyandang jawatan Setiausaha Bersatu Johor, namun, beliau dimaklumkan menerusi Solihan bahawa menteri besar itu sendiri menolak jawatan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!