Anggota Rela parah motosikal terlanggar babi hutan

Adnan Abdullah, 52, dilaporkan kritikal dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.
Adnan Abdullah, 52, dilaporkan kritikal dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.
A
A
A

JASIN - Ancaman babi hutan terus menghantui penduduk di beberapa kawasan di sekitar negeri ini dan kejadian terbaharu, seorang anggota Rela cedera parah selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar babi hutan di Kilometer 16, Kampung Serkam di sini.

Dalam kejadian 17 Mei lalu, mangsa, Adnan Abdullah, 52, dilaporkan kritikal dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Perkara itu, disahkan Ketua Perhubungan Rela DUN Serkam, Mohd Nasir Hashim yang menerima laporan anak buahnya itu dikatakan terlibat kemalangan itu ketika dalam perjalanan bertugas.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam, sewaktu mangsa sedang dalam perjalanan ke tempat bertugas dari rumahnya di Kampung Ayer Tawar menuju ke pejabat Kemas di Serkam.

"Anggota terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta tengkuk dan kini dalam keadaan separa sedar di ICU Hospital Melaka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Berikutan kejadian itu, operasi memburu haiwan liar berkenaan dilakukan sepasukan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri yang diketuai Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hasan Baktee semalam.

Menurut Norhizam, operasi bermula jam 9.45 malam itu, telah memberi tumpuan di beberapa lokasi termasuk Sungai Rambai, Merlimau, Masjid Tanah dan Pengkalan Batu.

Artikel Berkaitan:

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hasan Baktee mengetuai operasi menembak babi hutan.
Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hasan Baktee mengetuai operasi menembak babi hutan.

" Operasi secara mengejut ini terpaksa dilakukan ekoran laporan yang diterima berhubung seorang anggota Rela mengalami cedera parah dan kritikal akibat berlanggar dengan babi hutan di Serkam.

"Operasi ini akan dijalankan berterusan dalam usaha mengurangkan populasi haiwan liar berkenaan dan saya berharap orang ramai terutama pengguna jalan raya lebih berhati-hati terutama di waktu malam," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi memberitahu, pihaknya belum menerima laporan mengenai kemalangan terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!