JAIPk akan siasat lelaki mengaku nabi
IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan menjalankan siasatan mengenai kenyataan seorang lelaki di laman Facebook miliknya bahawa dirinya seorang nabi, di negeri ini.
Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, tindakan lelaki berkenaan mendakwa dirinya sebagai nabi dan rasul berkemungkinan kurang siuman.
"Individu yang mengaku dirinya nabi itu berkemungkinan orang gila jadi saya ingin pesan kepada orang ramai jangan ikut.
"JAIPk akan menjalankan siasatan mengenai perkara ini dengan kadar segera," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini hari ini.
Sebelum ini tular paparan skrin yang dimuat naik oleh salah seorang pengguna laman sosial berkenaan di dalam kumpulan Perak Ajerr mengenai individu berkenaan mendakwa dirinya nabi.
Lelaki terbaik memuat naik status dengan memaklumkan dia berjalan di dalam Arasy dan berjumpa dengan ALLAH SWT, para malaikat serta seluruh makhluk ciptaan ALLAH SWT.
Dia turut memuat naik kenyataan mengaku dirinya sebagai nabi dan rasul dan mendapat pelbagai reaksi netizen yang turut menggesa campur tangan JAIPk untuk menyiasat lelaki ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!