18 PATI dapat tajaan pulang ke negara asal
SUNGAI PETANI - Seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak dapat menggambarkan perasaan terlalu gembira selepas menerima tajaan pulang ke negara asal untuk berhari raya.
Pengerusi Hasani Group, Farook Hassan Mohamed Hussain berkata, kegembiraan jelas tergambar daripada riak wajah masing-masing seolah-olah tidak percaya apabila dimaklumkan mengenai penajaan tersebut yang membolehkan mereka keluar serta tidak lagi menjadi tahanan pihak Imigresen Malaysia.
Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa kesemua PATI warga Indonesia berkenaan sudah dibenarkan pulang sebelum ini selepas tamat tempoh hukuman akibat kesalahan dilakukan namun gagal pulang disebabkan berdepan kekangan kewangan.
"Mereka ni semua sudah didakwa di mahkamah dan menjalani tempoh hukuman penjara sepertimana disabitkan kesalahan.
"Tetapi kelompok PATI ini masih ditahan di Depot Tahanan Imigresen di Belantik, Sik untuk sementara waktu kerana menunggu keluarga atau negara asal menanggung biaya penghantaran pulang kerana tidak mempunyai wang simpanan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu acara ringkas dihadiri kakitangan Syarikat Kumpulan Hasani di Depot Tahanan Imigresen Belantik bagi menguruskan proses penghantaran pulang PATI dengan kerjasama pihak Jabatan Imigresen Malaysia.
Hadir sama Komandan Depot Tahanan Imigresen Belantik, Penolong Penguasa Imigresen, Rosli Issak dan Vice Consul Immigration Indonesia Bapak Yan Wely Wiguna.
Difahamkan, kesemua mereka telah sekian lama berada dalam tahanan dan selesai tempoh hukuman sejak satu hingga empat bulan lalu.
Menurut Farook Hassan, sumbangan dan tajaan tiket penerbangan penghantaran pulang adalah bertujuan memberi sinar baharu buat kesemua tahanan yang sekian lama terpisah dengan keluarga.
"Mereka sangat gembira dan berkali-kali mengucapkan terima kasih kerana mahu pulang ke negara asal segera.
"Dengan pemberian tajaan ini semoga dapat memberi kebahagiaan buat semua tahanan bertemu semula insan tersayang dan membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri di samping memulakan hidup baharu sebagai seorang yang lebih matang serta tidak mengabaikan keluarga," katanya.
Kesemua 18 PATI berkenaan menaiki penerbangan pulang pada 23 Mei lalu dan selamat pulang ke Indonesia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!