Dua beradik bertarung selamatkan ibu dari dipatuk ular

Tiga hero remaja: dari kanan Muhammad Rasul, Mohd Shafizal (tengah) Mohd Aziz
Tiga hero remaja: dari kanan Muhammad Rasul, Mohd Shafizal (tengah) Mohd Aziz
A
A
A

BALING - [DIKEMASKINI] Tiga remaja layak dinobat sebagai wira apabila bertarung nyawa menyelamatkan seorang ibu tunggal daripada dimakan ular sawa batik.

Dalam kejadian di Kampung Ulu Tawar jam 10 malam tadi, Muhammad Rasul Abdullah,16, dan adiknya Mohd Aziz Abdullah,15, tidak hiraukan nyawa sendiri apabila menarik dan menetak ular seberat kira-kira 6kg yang sedang membelit ibu mereka.

Dua beradik OKU itu dibantu sepupu mereka Mohd Shafizal Ismail,15.

Mohd Aziz berkata, sebelum kejadian dia bersama abang, Muhammad Rasul Abdullah,16, dan Mohd Shafizal Ismail,15, sedang berada di dangau depan rumah.

"Kami tengah main permainan video dalam telefon, tiba-tiba dengar mak jerit kuat. Kami sangka hanya ular biasa yang masuk rumah.

"Sebelum ini pun dah dua kali ular masuk dalam rumah tapi saiznya kecil. Bila Shafizal turun pi tengok mak, dia pula menjerit panggil saya dan abang," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Ulu Tawar hari ini.

Aziz yang merupakan OKU di Pusat Dalam Komuniti (PDK) Sri Bakai berkata, sebaik saja datang untuk memberi bantuan, dia melihat ibunya sudah dibelit hingga ke paras dada.

"Saya bergegas ambil parang dan bagi dekat Shafizal. Kemudian saya tarik bahagian ekor ular tu untuk elak mak daripada terus dibelit.

Artikel Berkaitan:

"Tapi haiwan tu tak mau lepas. Abang turut bergegas dapatkan bantuan orang kampung," katanya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik.

Ular inilah yang cuba menelan mangsa
Ular inilah yang cuba menelan mangsa

Manakala Shafizal berkata, dia mencucuk bahagian tengah badan ular dengan parang bagi menyelamatkan mangsa.

"Akibat dicucuk, ular itu berlalu pergi. Waktu itu saya minta ibu saudara saya senyap. Tapi entah macam mana ular itu macam terkejut dan berpatah balik.

"Dalam sekelip mata ular itu panggungkan kepalanya dan terus gigit bahagian tepi kepala ibu saudara saya.

"Ketika keadaan kelam kabut itu, dua orang kampung mai terus datang bagi bantuan. Seorang tetak kepala, seorang lagi tarik bahagian ekor. Muhammad Rasul pula memotong badan haiwan itu hingga mati," katanya.

Bagi Muhammad Rasul, pengalaman berdepan ular sebesar itu kali pertama dihadapinya.

"Rasa takut tu memang ada, tapi terpaksa beranikan diri lawan ular tu untuk selamatkan mak," katanya.

Sementara itu mangsa, Halifah berkata, kejadian berlaku ketika dia keluar rumah untuk membuang sampah.

"Ketika berjalan untuk buang sampah saya ada dengar bunyi pelik. Selepas buang saja sampah, tiba-tiba kaki kiri rasa sangat sakit dan terus rebah.

"Rupa-rupanya kaki dah digigit, dalam masa sama saya nampak seekor ular sangat besar di kawasan tu," katanya.

Tambahnya, reptilia itu juga bertindak agresif dengan menggigit kepala sebelum cuba untuk menelannya.

Halifah yang cedera di tangan dan kaki kiri serta kepala menerima rawatan di Hospital Kukim dan dibenarkan keluar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!