'Cacat dah aku'
KOTA BHARU - Seorang remaja hilang empat jari selepas belerang mercun yang diletakkan di dalam sebuah botol meletup di Kampung Baloh di sini.
Belereng mercun bola diletakkan di dalam botol itu kerana mahu berjimat sebelum ia meletup kira-kira jam 9 malam, Sabtu minggu lalu.
Mangsa, Mohammad Iqhbal Anuri, 13, berkata, dia bersama beberapa rakannya membuka semula 20 mercun bola manakala belerangnya diletakkan dalam botol.
"Kami mahu kumpul belerang sebab ada sesetengah mercun tidak meletup selepas dinyalakan. Kami mahu nyalakan bunga api dengan meletakkan belerang atas kertas tapi api yang dicucuh menyambar botol.
“Cacat dah aku, itu sahaja yang mampu saya kata kepada rakan-rakan yang ada di situ. Saya menyesal sebab saya dah jadi orang kurang upaya (OKU) ketika berusia 13 tahun,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) 2 di sini hari ini.
Menurutnya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kok Lanas itu, ketika kejadian dia bersama beberapa rakan-rakannya bermain mercun di padang sebelah kawasan perkuburan di kampung datuknya.
"Masa itu orang ramai sembahyang tarawih dan saya tidak sedar masa berlalu dengan cepat kerana terlalu leka bermain mercun.
"Saya kidal dan selepas ini terpaksa belajar untuk menulis gunakan tangan kanan. Saya sangat menyesal dan berjanji tidak akan bermain mercun lagi," katanya.
Sementara itu, ibunya Norhayati Baharudin, 50, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di rumah di Kampung Sokor, kerana seharian mengalami sakit kepala.
Menurutnya, dia tidak sedar anak bongsu daripada tiga beradik itu keluar dan hanya mengetahui kejadian tersebut selepas diberitahu penduduk kampung.
“Kakaknya dah larang dia main mercun selepas ternampak Mohammad Iqhbal pegang plastik mercun bola tetapi nasihat itu tidak dipedulikan.
“Saya harap ia jadi iktibar kepada anak-anak yang lain supaya tidak mengulangi kesilapan sama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!