PPM rampas 120 kg ikan, tahan pasangan suami isteri
KUDAT - Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat merampas 120 kilogram (kg) ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan selepas menahan sepasang suami isteri di kawasan Jalan Tinangol Indarason Matunggong, Kudat jam 2.40 petang semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pasangan suami isteri berkenaan masing-masing berusia 64 dan 43 tahun ditahan menerusi operasi 'Ops Landai Khas'.
Menurutnya, hasil daripada maklumat yang diterima, polis berjaya mengesan dan menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Rusa yang dipandu oleh suspek dalam keadaan yang mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut, polis telah menjumpai lebih kurang 120kg ikan pelbagai jenis dengan nilai anggaran berjumlah lebih kurang RM1,200. Turut dirampas, kenderaan milik suspek, dua buah tong ikan serta sebuah alat penimbang ikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Pajeri berkata, semua rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat dan akan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kudat untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 26 (1) (c) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan memiliki ikan yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya.
Mohamad Pajeri menambah, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan dan akan memastikan mereka yang terlibat dijatuhkan hukuman yang semaksima mungkin agar mereka tidak mengulangi aktiviti tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!