PKR perkemas jentera hadapi PRN Sarawak
PUTRAJAYA - PKR sedang memperkemas jentera pilihan rayanya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang dijangka diadakan pada hujung tahun depan atau awal 2021.
Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian akan mengepalai jentera parti di negeri itu dan akan dibantu oleh beberapa orang pimpinan pusat iaitu Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution dan tiga Naib Presiden Dr Xavier Jayakumar, Tian Chua dan Ali Biju.
"Mereka akan mula sempurnakan tugas secepat mungkin merangka strategi, mengadakan rundingan dengan parti-parti komponen dan persiapkan jentera yang boleh beri satu landasan perjuangan yang berkesan untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, di sini hari ini.
Pada PRN Sarawak ke-11, Barisan Nasional (BN) menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, manakala DAP menang tujuh kerusi dan PKR menang tiga kerusi iaitu Batu Lintang, Krian dan Ba'kelalan.
Menurutnya mesyuarat itu turut membincangkan kedudukan Anggota Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita yang juga bekas pembantunya.
Anwar berkata PKR mengambil serius dakwaan tersebut dan meminta polis meneruskan siasatan terhadap kes itu.
"Kami akan tunggu hasil siasatan untuk bertindak selanjutnya sekiranya wajar," katanya.
Baru-baru ini, seorang wanita membuat laporan polis mendakwa beliau menjadi mangsa gangguan seksual Kesavan, namun anggota parlimen itu turut membuat laporan polis dengan mendakwa wanita tersebut sering mengganggunya.
Sementara itu, Anwar berkata PKR membantah tindakan provokasi Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran dan mendesak badan antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengadakan sidang tergempar bagi mengelak ketegangan yang boleh menjurus kepada peperangan.
"PKR menggesa Malaysia menyatakan pendirian tegas kita dengan menolak provokasi dan ancaman peperangan kepada seluruh negara Islam yang bergabung di bawah Persidangan Kerjasama Islam (OIC), yang akan mengadakan sidang kemuncaknya di Makkah pada 31 Mei ini," katanya.
AS akan menghantar 1,500 lagi tentera tambahan ke Timur Tengah sebagai "langkah perlindungan", berikutan ketegangan yang kian memuncak dengan Iran, kata Presiden Donald Trump pada Jumaat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!