Budak dua tahun maut 'diracun' pengasuh
MOSCOW - Seorang pengasuh dengan sengaja 'meracun' seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dijaganya kerana tidak berkelakuan baik ketika waktu makan tengah hari.
Dalam kejadian di Kholmogory, wilayah Arkhangelsk Oblast, Yana Deinesh, 25, dengan sengaja mencampurkan hampir setengah bungkus garam ke dalam bubur yang kemudian disuap secara paksa kepada kanak-kanak malang itu.
Tidak lama selepas memakan bubur tersebut, mangsa tidak sedarkan diri dan terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi dalam keadaan kritikal.
Usaha menyelamatkan mangsa gagal dan kanak-kanak itu meninggal dunia akibat keracunan garam.
Mangsa dilaporkan dipaksa makan sekurang-kurangnya 50 gram garam, dos tersebut adalah 60 kali lebih tinggi daripada yang sepatutnya buat kanak-kanak seusianya.
Ketika ditahan pihak berkuasa, Deinesh mengaku melakukan perbuatan kejam itu namun mendakwa tidak berniat membunuh mangsa.
Mahkamah Daerah Arkhangelsk membuat keputusan Deinesh bersalah melakukan pembunuhan dan menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap ibu beranak dua itu. - Dailymail
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!