Umat Islam perlu lebih banyak memberi pada bulan Ramadan

Nazrin Chong (tengah) bersama sebahagian penghuni Rumah Anak Yatim Yayasan Amanah An-Nur Maisarah
Nazrin Chong (tengah) bersama sebahagian penghuni Rumah Anak Yatim Yayasan Amanah An-Nur Maisarah
A
A
A

IPOH - Umat Islam perlu lebih banyak memberi pada bulan Ramadan dalam usaha memupuk perasaan kasih sayang sesama insan.

Pengarah Urusan Mimbar Nusantara Holdings Sdn Bhd, Nazrin Chong Abdullah berkata, selain beroleh ganjaran pahala yang berlipat ganda, setiap pemberian juga memberi makna yang tersendiri.

Justeru katanya, amalan sedemikian diharap bakal berterusan kerana ia juga membantu mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

“Di bulan Ramadan ini, kita perlu lebih banyak ‘memberi’ dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.

“Selain membantu saudara seagama, kita juga akan beroleh pahala yang berlipat ganda daripada ALLAH SWT,” katanya di sini hari ini.

Nazrin berkata demikian ketika ditemui sempena program penyampaian sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Yayasan Amanah An-Nur Maisarah, Chemor yang turut dihadiri Pengarah Mimbar Nusantara, Azrina Abd Latif.

Sementara itu Nazrin berkata, sumbangan kebajikan yang dibuat syarikatnya itu bukan hanya diadakan pada Ramadan malah akan turut dilaksanakan pada bulan lain.

"Program ini diharap dapat memberikan bimbingan serta motivasi khususnya kepada anak-anak untuk belajar bersungguh-sungguh demi menjamin kejayaan dan kecemerlangan hidup pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

“Kemiskinan bukanlah halangan untuk seseorang insan itu berjaya dalam hidup kerana yang paling utama ialah kesungguhan untuk bekerja keras dan rajin belajar yang ada pada diri sendiri. Jadi gunakanlah kesempatan sedia ada untuk memanfaatkan ilmu yang dipelajari di usia muda agar tidak menyesal di kemudian hari,’’ katanya.

Terdahulu Nazrin turut menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada 120 pelajar Maahad Tahfiz Al-Ansori, Chemor; 28 pelajar Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Manjoi dan 25 anak yatim serta tiga warga emas Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Orang Tua Kinta (Hawa).

Sumbangan turut diberikan kepada 25 pelajar tahfiz Nur Muhammad Tahfiz Centre dan 42 anak yatim Rumah Anak Yatim/Warga Miskin Budi Mulia Nurul Huda Tanah Hitam, Chemor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!