Tidak wajar persoal biasiswa Palestin
BARU-baru ini, dilaporkan bahawa Malaysia akan menawarkan biasiswa kepada pelajar Palestin bagi menyambung pengajian di 12 universiti terkemuka tanah air.
Perkara itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada majis berbuka puasa bersama komuniti Palestin di Malaysia yang dianjurkan Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM).
Tajaan biasiswa bernilai RM11.4 juta itu membabitkan Albukhary International University, Management and Science University (MSU), Universiti Mahsa, Kolej Universiti Islam Perlis dan City University.
Selain itu, ia turut membabitkan Universiti Multimedia (MMU), Universiti UCSI, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Sunway, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Semasa laporan ini disiarkan, ramai yang menganggap bahawa biasiswa ini adalah tajaan kerajaan Malaysia, menggunakan wang pembayar cukai.
Namun demikian, adalah jelas bahawa biasiswa ini ditawarkan oleh universiti-universiti tersebut sendiri, sama ada melalui dana mereka sendiri atau dana daripada sumbangan luar.
Apatah lagi, jika dilihat bahawa 11 daripada 12 universiti tersebut adalah universiti swasta.
Sememangnya menjadi kelaziman universiti tempatan untuk menawarkan biasiswa setiap tahun kepada warga Malaysia atau pelajar antarabangsa.
Di samping itu, institusi pendidikan swasta memberikan biasiswa sebagai inisiatif tanggungjawab sosial mereka, menaikkan imej mereka sendiri dan berkemungkinan memperbaiki ranking mereka. Oleh itu, pemberian biasiswa kepada rakyat Palestin bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Akan tetapi, berita ini telah mendapat pelbagai reaksi negatif daripada netizen. Mereka mempersoalkan mengapa warga Palestin diberikan biasiswa khas ini, kenapa tidak diberikan kepada rakyat Malaysia yang lebih memerlukan.
Mereka kata, ini contoh ‘kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kelaparan'.
Tambahan lagi, dengan isu kuota matrikulasi yang hangat diperkatakan sekarang, ada yang mengaitkan berita ini dengan berita tentang pelajar bukan Melayu yang mendapat keputusan cemerlang, tetapi gagal mendapat tempat dalam matrikulasi.
Reaksi netizen ini tidak wajar.
Pertama, oleh kerana dana itu bukan daripada kerajaan, maka isu kononnya kerajaan meminggirkan rakyat Malaysia tidak sepatutnya timbul. Memang terdapat ramai pelajar yang memerlukan bantuan di Malaysia, tetapi itu adalah tanggungjawab kerajaan dan bukannya pihak swasta yang menawarkan biasiswa.
Kedua, perbandingan dengan isu matrikulasi adalah perbandingan yang tidak jujur. Walaupun kedua-dua isu melibatkan pendidikan, isu kuota matrikulasi dan isu biasiswa adalah dua isu yang berbeza dan tidak patut dicampur aduk.
Ketiga, dunia mengetahui bahawa rakyat Palestin adalah antara bangsa yang paling ditindas di dunia ini. Sehingga kini, hampir setiap minggu ada sahaja berita tentang kekejaman dan penindasan rejim Zionis Israel terhadap warga Palestin. Mereka yang diberi peluang untuk hidup dengan aman di negara luar adalah amat bernasib baik.
Mereka mahu biasiswa hanya diberi kepada rakyat Malaysia. Cuba kita bayangkan, jika universiti di luar negara hanya beri biasiswa kepada rakyat mereka? Mengapa perlu kita cemburu sekiranya ada pihak yang mahu memberi peluang pendidikan kepada warga Palestin?
Sepatutnya usaha murni universiti ini diraikan dan disokong, bukannya dipersoalkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!