Tetapkan harga siling bufet Ramadan
SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) mencadangkan kerajaan menetapkan satu harga siling bufet Ramadan supaya harga bufet itu tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang mengambil kesempatan mengkomersialkan pakej berbuka puasa sempena Ramadan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Jacob George berkata, sejak enam tahun lalu, pihaknya sudah menghantar aduan serta rayuan bertulis kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menyediakan satu dasar jelas terhadap isu harga bufet Ramadan.
“Bagi menjayakan dasar berkenaan, pihak kementerian boleh meminta penganjur bufet Ramadan menghantar butiran sebut harga bufet disediakan berserta menu ditawarkan. Sebelum harga siling ditetapkan, langkah ini perlu supaya tidak ada pihak yang tak bersetuju.
“Walaupun ia sebenarnya bergantung kepada pilihan pengguna, tetapi realitinya harga bufet Ramadan terlalu tinggi mengundang persepsi negatif dari segi agama, moral serta etika kerana kecenderungan berlakunya pembaziran,” kata beliau.
Tambah Jacob, berdasarkan maklumat siasatan yang dijalankan pihaknya, kebanyakan penganjur bufet menawarkan harga tinggi disebabkan kenaikan kos, kepelbagaian menu ditawarkan dan juga imej hotel serta lokasi bufet Ramadan ditawarkan.
Menurutnya, harga bufet berkenaan telah ditetapkan oleh hotel dan juga bergantung kepada strategi pihak pemasaran hotel untuk memastikan bufet Ramadan terjual.
“Persoalannya sejauh mana harga ditetapkan itu munasabah atau adakah pihak berkenaan hanya menggunakan alasan sambutan keagamaan untuk menaikkan harga?” soalnya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Bertan-tan makanan elok dibuang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!