Gabungan Celcom - Digi bawa kesan positif

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Baru-baru ini, heboh rakyat Malaysia membincangkan cadangan penggabungan aset Axiata Group Berhad dengan operator mudah alih dari Norway, Telenor ASA.

Bahasa mudahnya, dalam konteks Malaysia, syarikat telekomunikasi Celcom dicadangkan bergabung dengan pesaingnya, Digi!

Penggabungan dua syarikat berpengaruh itu pastinya memberi kesan kepada sektor telekomunikasi negara. Dari aspek perniagaan, sudah tentu ia baik untuk kedua-duanya. Untuk rakyat pula bagaimana?

Sebelum pergi lebih jauh, tahukah anda penggabungan Axiata dan Telenor bagi operasi serantau kedua-dua syarikat itu akan mewujudkan satu kumpulan operator telekomunikasi terbesar di Asia, beroperasi di Malaysia, melibatkan pasaran di sembilan buah negara? Hebat bukan.

Gabungan itu juga bakal mewujudkan entiti baru (MergedCo) bertaraf dunia. Begitupun, MergedCo bukanlah bermakna mereka bergabung sepenuhnya, ia hanya menyatukan operasi peringkat pasaran rantau ASEAN dan Asia Selatan milik mereka.

Operator mudah alih sentiasa bersaing dalam menyediakan produk dan perkhidmatan yang inovatif pada harga berpatutan dan memberi manfaat kepada pengguna.
Operator mudah alih sentiasa bersaing dalam menyediakan produk dan perkhidmatan yang inovatif pada harga berpatutan dan memberi manfaat kepada pengguna.



Sejujurnya, gabungan Celcom - Digi mampu memberi impak positif kepada rakyat Malaysia. Sebaik cadangan penggabungan itu diumumkan, kecoh seantero negara, seolah-olah penggabungan itu bakal membawa kesan negatif.

Tidak, jangan terlalu teruja membuat kesimpulan. Prosesnya masih dalam peringkat perbincangan, belum diputuskan lagi. Begitupun, harus diakui persepsi negatif tetap wujud dalam kalangan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Kebimbangan disuarakan rakyat, pertamanya adalah berkaitan harga servis ditawarkan gabungan itu nanti, MalaysiaCo namanya buat masa sekarang.

Mereka beranggapan cajnya akan meningkat memandangkan pesaing semakin berkurang. Jika benar MalaysiaCo berbuat begitu maka mereka sebenarnya menempah laluan sukar dan berliku.

Perlu diingat, bukan Celcom dan Digi sahaja operator telekomunikasi yang ada di Malaysia. Seandainya mereka tegar menaikkan harga, tidakkah mereka khuatir pelanggan mereka beralih kepada pesaing?

Tidak mungkin mereka akan membenarkannya. Bukannya mudah untuk mendapatkan pelanggan namun mudah untuk kehilangannya. Pasti, ia bukanlah sesuatu yang diingini mereka.

Berdasarkan faktor tersebut, tidak mungkin MalaysiaCo akan menaikkan caj mereka. Bahkan, mungkin caj akan berkurang memandangkan kos operasi dan perbelanjaan lain berkurang.

Tidak mustahil rakyat Malaysia boleh mendapat servis lebih baik dengan kadar lebih murah. Sekiranya itu yang berlaku, tidakkah ia menguntungkan rakyat?

Hakikatnya, penggabungan kedua-dua syarikat ini mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia. Difahamkan, Malaysia akan menjadi ibu pejabat buat syarikat tersebut.

Pengguna sentiasa mencari tawaran yang terbaik pada harga berpatutan.
Pengguna sentiasa mencari tawaran yang terbaik pada harga berpatutan.



Gabungan itu juga bakal mewujudkan tambahan empat syarikat gergasi di Malaysia. Apabila wujudnya syarikat itu nanti, sudah pasti peluang pekerjaan ikut sama diwujudkan.

Menariknya, anak-anak tempatan kelak boleh bekerja dalam sebuah syarikat bertaraf antarabangsa, antara yang terbesar di dunia juga. Menakjubkan!

Justeru, cakap-cakap mengatakan ramai akan dibuang kerja disebabkan penggabungan itu adalah tidak benar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Presiden Axiata Group Bhd, Tan Sri Jamaludin Ibrahim juga menegaskan bahawa tidak wujud pembuangan kerja kerana gabungan itu.

Begitu juga dakwaan mengatakan gabungan itu ibarat ‘menjual negara’. Tidak benar sama sekali. Menurut Jamaludin, ia adalah penggabungan, bukan pengambilalihan.

“Walaupun Telenor mempunyai kepentingan majoriti, semangat kesaksamaan dalam penggabungan adalah asas kepada usaha ini,” katanya.

Usahlah dilaungkan lagi persepsi jual negara. Dalam dunia serba maju dan moden kini, ada juga penyatuan perniagaan yang mampu memberi manfaat kepada pengguna dan juga rakyat dengan membuka pelbagai peluang baru.

Sebagai pengguna, kebimbangan pasti wujud dalam hati namun usahlah terlalu khuatir. Seandainya gabungan tersebut menguntungkan syarikat, sudah pasti ia akan menguntungkan pengguna juga.

Positif untuk mereka, pastinya positif juga untuk kita.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!