Polis Kelantan selesai dua kes serentak

Hasanuddin menunjukkan rampasan ketum di Jeli.
Hasanuddin menunjukkan rampasan ketum di Jeli.
A
A
A

TANAH MERAH - [DIKEMASKINI] Polis Kelantan berjaya menyelesaikan dua kes berasingan di Jeli dan Rantau Panjang yang melibatkan rampasan 173 bungkusan ketum bernilai RM26,280 dan pistol di sini semalam.

Dalam kes di Kampung Baru Jeli, sebuah lori jenis Hicom yang dinaiki dua lelaki ditahan ketika membawa muatan ketum seberat 1,751 kilogram, hasil rondaan polis di kawasan itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dalam serbuan jam 6 pagi itu, lori berkenaan yang dinaiki dua lelaki ditahan selepas anggota polis menemui satu botol lut sinar berisi cecair perang disyaki ketum.

"Hasil pemeriksaan lanjut, kita juga turut menemui bungkusan daun ketum dalam lori berkenaan.

"Kita tahan dua lelaki berusia 20 dan 35 tahun untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini hari ini.

Hasanuddin berkata, hasil siasatan awal dilakukan daun ketum berkenaan diperolehi dari Sik Kedah dan untuk dipasarkan di sekitar Pasir Mas.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel Berkaitan:

Hasanuddin (kiri) menunjukkan rampasan pistol dan jaket PDRM di Rantau Panjang.
Hasanuddin (kiri) menunjukkan rampasan pistol dan jaket PDRM di Rantau Panjang.

"Dua lelaki terbabit telah dituduh di mahkamah hari ini dan kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan mahkamah RM17,000 setiap seorang," katanya.

Sementara itu dalam kes di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang, seorang lelaki berumur 29 tahun ditahan kerana memiliki senjata api dan pelbagai barangan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan polis, pihaknya menjumpai sepucuk pistol jenis lama warna perak, sarung pistol hitam, kelopak bertulis colt 380 Auto, tiga biji peluru, tiga bilah parang, satu helai baju hujan milik PDRM dan bungkusan plastik lut sinar disyaki berisi air ketum seberat 15 liter.

"Kita siasat kes ini di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan kes jenayah di bawah Akta Senjata Api.

"Lelaki berkenaan direman selama enam hari bermula semalam sehingga 31 Mei ini dan hukuman bagi Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

"Manakala bagi Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 turut memperuntukkan hukuman denda tidak meleibihi RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!