Pemandu bot pelancong ditahan APMM Pulau Pinang
GEORGETOWN - Seorang pemandu bot pelancong dipercayai penagih dadah ditahan sepasukan penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, kelmarin.
Pengarahnya, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, pihaknya menahan bot pelancong tersebut pada jarak kira-kira 0.1 batu nautika dari Utara Tanjung Pandan, Teluk Bahang pada jam 3.30 petang.
Menurutnya, ketika ditahan, bot tersebut dalam perjalanan membawa pelancong dari Jeti Teluk Bahang ke Monkey Beach.
"Selepas pemeriksaan dibuat, kita mendapati pemandu bot berusia 20 tahun itu merupakan penagih dadah selain bot tersebut mempunyai pelbagai kesalahan.
"Bot itu juga disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mengemukakan Sijil Kompetensi, lesen bot tamat tempoh dan beroperasi tanpa perlindungan insurans bot," katanya dalam satu kenyataan media pagi tadi.
Tambahnya, pemandu bot tersebut disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki penagih dadah.
"Bot berkenaan bersama pemandunya ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban, Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.
"Saya ingin mengingatkan kepada pemilik bot pelancong, mereka harus mematuhi semua peraturan dalam pengoperasian bot pelancong serta menggaji operator bot yang bebas daripada masalah sosial. Kita tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang ingkar undang-undang yang ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!